fbpx

Rombak dasar pendidikan Darjah 6, Tingkatan 3

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

SHAH ALAM – Dasar pendidikan berhubung peperiksaan bagi Darjah 6 di sekolah rendah dan Tingkatan 3 di sekolah menengah digesa dirombak bagi mengelak terusnya berlaku keciciran murid dan pelajar.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini kerana terdapat sebilangan pelajar yang tidak mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) walaupun berdaftar kerana tidak menguasai 3M iaitu membaca, menulis dan mengira.

“Saya mengadakan perbincangan dengan Zambry (Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir) dan Kementerian Pendidikan (KPM) dengan (puncanya pelajar) kebanyakannya tidak boleh membaca, menulis dan mengira.

“Wajib dasar pendidikan yang tidak ada peperiksaan Darjah 6 dan Tingkatan 3, mesti ‘di-revamp’ (dirombak).

“Jangan jadikan anak murid sebagai bahan uji kaji dan mereka jadi mangsa, biar kerajaan bertukar, tetapi dasar kerajaan mestilah dibuat supaya anak kita tidak menjadi mangsa,” katanya dalam ucapan perasmian Perhimpunan Agung MIC Ke-78, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan seramai 122,062 murid Tahun Satu sesi 2024/2025 dipilih bagi mengikuti Program Intervensi (literasi dan numerasi) bermula bulan lalu bagi membantu mereka menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M).

Jumlah murid yang terpilih itu mewakili 27.2 peratus daripada keseluruhan 448,113 murid Tahun Satu di seluruh negara.

Dalam pada itu, kerajaan bersetuju untuk memperuntukkan sebahagian daripada RM200 juta dalam Tabung Pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara kepada institusi di bawah MIC dan MCA, pada tahun ini.

Ujarnya, dana tersebut akan diberikan mengikut keperluan-keperluan kursus yang ditawarkan oleh institusi pendidikan tinggi (IPT) berkenaan.

“Ia adalah sebahagian daripada RM200 juta yang kita terima daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk Tabung Pembangunan TVET Negara.

“Dana itu akan dibahagikan mengikut kursus-kursus yang sedang atau akan dijalankan oleh Kolej Tafe dan TAR UMT (Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman), ” katanya.

Ahmad Zahid turut menjelaskan, kesemua institusi TVET di seluruh negara dijamin akan dibuka kepada semua masyarakat tanpa mengira kaum bagi mengurangkan impak terhadap keciciran dalam pendidikan masyarakat India di sekolah rendah dan menengah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI