KUALA TERENGGANU – Kemunculan seekor paus bongkok yang tular di media sosial semalam begitu istimewa kerana spesies itu pertama kali dikesan berada di perairan Pulau Redang.
Pensyarah Biologi Marin Fakulti Sains dan Sekitaran Marin, Universiti Malaysia Terengganu, Prof. Madya Dr. Maizah Mohd. Abdullah berkata, berdasarkan rakaman video tular itu, beliau percaya ia merupakan spesies paus bongkok atau nama saintifiknya Megaptera Novaeangliae.
“Walaupun agak sukar untuk mengecamnya kerana rakaman video pendek dan kurang jelas, namun pengecaman pada bentuk sirip dorsal menunjukkan ia adalah spesies Megaptera Novaeangliae atau paus bongkok.
“Sebelum ini, paus bongkok pernah ditemui di perairan Pulau Pangkor, Perak dan Miri, Sarawak,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Satu klip video berdurasi 39 saat yang memaparkan sekumpulan nelayan teruja terserempak dengan paus di Pulau Redang tular di media sosial sejak semalam.
Segelintir netizen bergurau paus itu mungkin mahu mengunjungi Terengganu untuk menghadiri Himpunan RXZ Members 6.0 yang berlangsung di Litar Permotoran Terengganu, Kuala Nerus semalam.
Maizah yang juga Ketua Projek Ocean Hope UMT berkata, paus bongkok merupakan mamalia yang melakukan penghijrahan atau migrasi paling jauh.
Jelas beliau, spesies tersebut boleh dijumpai di perairan dalam di seluruh dunia, namun populasi yang paling hampir dengan perairan Malaysia adalah kawasan Barat Laut Lautan Pasifik.
“Populasi paus ini menggunakan perairan Okinawa, Jepun dan Filipina untuk membiak. Mamalia itu memakan udang dan ikan kecil dengan cara menapis air laut dalam kuantiti banyak. Justeru, ia tidak berbahaya atau memberi ancaman kepada penyelam atau nelayan,” katanya. – KOSMO! ONLINE