BALING – Seorang pelajar tingkatan empat maut apabila kereta yang dinaiki bersama abangnya merempuh tiang elektrik dalam kejadian di Jalan Sungai Petani-Baling di Kampung Bukit Terabak, Kupang, di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.20 pagi itu, mangsa, Muhammad Shakir Noor Ruslan, 16, dari Kampung Sungai Limau, Pulai, di sini meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.
Pemangku Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintendan Charan Ai Wan berkata, kemalangan berlaku ketika mangsa yang berada di tempat duduk penumpang hadapan kereta Proton Saga Iswara dipandu abangnya, Muhamad Shazwan, 21, dari arah Mahang, Kulim menghala ke rumahnya di Sungai Limau.
“Siasatan awal mendapati pemandu kereta tersebut hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan dan melanggar tiang Tenaga Nasional Berhad (TNB) di bahu jalan sebelah kanan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
“Pemandu pula mengalami cedera ringan pada kaki dan tangan. Dia dihantar ke Hospital Baling untuk rawatan lanjut. Mangsa maut pula dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE