JAKARTA – Sepasang kekasih di Indonesia mengundang perhatian ramai selepas Presiden Joko Widodo (Jokowi) menyuarakan hasrat menjadi wali pernikahan mereka, lapor saluran berita Tribunnews semalam.
Beberapa hari lalu, pasangan itu terserempak dengan Jokowi bersama anak dan pegawai-pegawainya di sebuah kedai makan.
Disebabkan teruja dengan peluang tersebut, mereka meminta izin untuk bergambar dengan pemimpin berkenaan sebagai kenang-kenangan.
Rakaman itu menjadi tular di media sosial sehingga dilihat sendiri oleh Jokowi, menyebabkan beliau nekad untuk menjadi wali pernikahan pasangan tersebut.
Gambar yang dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @poponyangkedua memaparkan mesej yang dihantar oleh pegawai Jokowi.
“Dengan penuh rasa hormat, Presiden berminat untuk menjadi wali dalam majlis perkahwinan anda berdua, jika hubungan kalian sampai ke jenjang pelamin,” demikian menurut perbualan tersebut.
Rakaman itu mencatatkan lebih 5.2 juta tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi daripada netizen.
“Kahwin sekarang! Peluang tidak akan datang kali kedua!” komen seorang netizen.
“Cepat! Jokowi bulan depan akan diganti!” komen netizen lain. – AGENSI