fbpx

MPOB fokus R&D baka sawit unggul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) memberi penekanan kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D) terhadap penghasilan baka sawit unggul bagi meningkatkan pengeluaran sawit negara.

MPOB dalam kenyataannya berkata, penghasilan baka sawit unggul itu akan meningkatkan produktiviti tanpa menambah keluasan tanah.

“Usaha itu selari dengan komitmen negara terhadap pemuliharaan biodiversiti dan hutan hujan tropika yang diikrarkan pada Sidang Kemuncak Bumi Rio pada 1992.

“Sehingga kini, Malaysia masih mengekalkan lebih 50 peratus kawasan litupan hutan di negara ini,” katanya sempena lawatan kerja Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani ke Stesen Penyelidikan MPOB di sini, hari ini.

MPOB berkata, baka sawit elit yang diperkenalkan pihaknya pada 2020 mempunyai 89.7 peratus nisbah mesokarp pada setiap buah sawit yang menjamin kadar penghasilan minyak jauh lebih tinggi berbanding baka sawit lain.

“MPOB mempunyai pusat koleksi germplasma sawit yang terbesar di dunia. Pusat Kemajuan Bioteknologi dan Biakbaka (ABBC) MPOB ini menggunakan germplasma sawit untuk tujuan penyelidikan berasaskan bioteknologi dan pembiakbakaan.

“Ia bagi penghasilan benih baharu yang berprestasi tinggi dengan ciri-ciri unik untuk dijadikan bahan tanaman elit bagi memenuhi keperluan sektor perladangan sawit negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI