fbpx

Magical Night 3D tarikan MAHA 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengunjung melihat pertunjukan Magical Night di jambatan tasik MAEPS, Serdang.

KEDENGARAN suara Bella si gadis AI pada setiap malam penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA), mengalu-alukan kehadiran pengunjung menonton persembahan Magical Night and 3D Water Show di jambatan tasik Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang.

Beberapa minit kemudian, terpancar imej dan cahaya laser berwarna-warni pada pancuran air di tasik MAEPS dengan penceritaan dan perkongsian maklumat berkaitan MAHA 2024 yang disampaikan dengan kaedah informasi hiburan (infotainment) dan interaktif.

Persembahan Magical Night and 3D Water Show ini merupakan tarikan baharu pada MAHA 2024 bermula 11 hingga 22 September, sekali gus kelainan sempena penganjurannya yang ke-100 tahun.

Pengarah Bahagian Pengairan dan Saliran Pertanian (BPSP), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Ir. Yuslina Hj. Mohd Sani berkata, persembahan tersebut diadakan sebanyak tiga kali pada setiap malam.

Ia akan bermula pukul 8.15 malam, 8.45 malam dan 9.15 malam dengan durasi antara tujuh hingga 10 minit.

Menurutnya, BPSP, diberi tanggungjawab mengendalikan segmen tersebut yang merupakan cetusan idea Ketua Setiausaha (KSU) KPKM, Datuk Lokman Hakim Ali.

“Kandungan dipaparkan pada persembahan ini berubah-ubah mengikut hari dan masa serta tidak statik. Informasi tersebut sesuai untuk semua peringkat usia, bukan hanya kepada kanak-kanak.

“Antaranya berkaitan padi dan beras, ada imej haiwan seperti burung helang, kuda berlari, ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan tempatan. Ada juga robotik, imej laser, alunan muzik dan sebagainya bagi menarik minat pengunjung termasuk kanak-kanak memandangkan cuti sekolah ketika ini,” katanya.

Beliau berkata, pertunjukan laser dan skrin air interaktif juga selari dengan tema MAHA 2024 ‘Menuai Harapan, Membina Masa Hadapan’, selain diilhamkan dan berinspirasikan daripada ‘Imagine Dubai’.

“Saya mengambil pendekatan KSU iaitu less resources huge impact (kurang sumber, impak besar) dan kami berjaya paparkan persembahan ini yang pertama kali diadakan di MAHA 2024 sempena kelainan untuk 100 tahun.

“Kandungan dipaparkan akan ditambah baik setiap hari. Ia bukan hiburan semata-mata, tetapi diisi dengan maklumat dan pengetahuan kepada pengunjung,” ujarnya.

Bagi memberi keselesaan, pihaknya turut menyediakan kerusi khas di tepi tasik berhadapan pancuran air berdekatan Pavilion Negeri bagi membolehkan orang ramai menikmati dan merasai pengalaman persembahan Magical Night and 3D Water Show dengan lebih dekat.

Dalam masa sama, Yuslina memberitahu, pihaknya turut menyediakan Pavilion Negeri dalam usaha menonjolkan kekayaan sumber pertanian di setiap negeri dan memberi peluang kepada pengunjung untuk memahami kepelbagaian sektor pertanian Malaysia.

Menurutnya, di setiap pavilion, setiap negeri akan mempromosi inovasi dalam penggunaan teknologi terkini dalam sektor pertanian yang diterapkan oleh negeri-negeri dalam usaha meningkatkan produktiviti dan kemampanan.

Selain itu katanya, ia bagi merangsang ekonomi industri kecil dan sederhana (IKS) tempatan membuka peluang kepada usahawan tempatan untuk memperkenalkan produk mereka kepada pasaran yang lebih luas, sambil menjana pendapatan melalui jualan dan promosi.

“Setiap pavilion akan mengetengahkan pelbagai elemen menarik untuk tatapan pengunjung menggunakan idea dan kreativiti masing-masing.

“Sebagai contoh ada yang tonjolkan replika gajah dari jerami padi, replika ikan patin dan juga mempamerkan petting zoo di samping membawa elemen tradisional sama ada tenun atau tekad termasuk permainan tradisional,” ujarnya.

Ujarnya, Pavilion Negeri turut menggalakkan agropelancongan bagi menarik pelancong untuk menerokai destinasi agro unik di seluruh negeri Malaysia melalui pameran destinasi agrotourism dan ekopelancongan.

Antara tarikan utama di Pavilion Negeri seperti produk pertanian tempatan, demonstrasi pertanian tradisional dan moden serta jualan produk industri kecil dan sederhana (IKS).

Turut berlangsung ialah aktiviti interaktif dan demonstrasi seperti persembahan kebudayaan, demonstrasi makanan dan tradisional serta aktiviti di Amphitheater MAEPS, seterusnya promosi destinasi agro dan pelancongan negeri.

MAHA 2024 yang juga acara dwitahunan tahunan berlangsung selama 12 hari bermula 11 hingga 22 September ini, turut meraikan 100 tahun penganjurannya setelah kali pertama dianjurkan pada 30 Jun hingga 2 Julai 1923.

Ia turut mendapat penyertaan lebih daripada 20 negara, dengan sasaran jumlah keha­diran pengunjung seramai tiga juta orang sepanjang program itu yang turut berlangsung pada musim cuti persekolahan.

Lebih 30 segmen menarik melibatkan aktiviti pameran dan jualan meliputi seluruh ekosistem berkaitan rantaian nilai agromakanan ditampilkan pada MAHA 2024.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI