ALOR SETAR – Jumlah pelancong ke Langkawi mencatatkan peningkatan mendadak sejak Jumaat lalu apabila merekodkan 13,983 penumpang yang menggunakan perkhidmatan feri dari Terminal Feri Kuala Kedah dan Kuala Perlis, Perlis.
Pengurus Besar Konsortium Ferry Line Ventures Sdn. Bhd., Kapten Baharin Baharom berkata, permintaan feri ke Langkawi naik berganda sejak seminggu lalu menyebabkan pihaknya terpaksa menambah jadual perjalanan dari kedua-dua terminal itu.
“Kemasukan pelancong ke Langkawi sempena cuti sekolah adalah tinggi, jadi kita menambah trip feri sehingga maksimum. Ada (perjalanan) yang selang lima minit kerana keadaan laut elok, kita tambah feri sehingga pukul 8 malam.
“Seminggu sebelum cuti, banyak tempahan ke Langkawi dibuat melalui Terminal Feri Kuala Kedah dan Kuala Perlis. Kemasukan tertinggi adalah dari Terminal Feri Kuala Perlis iaitu 5,409 penumpang.
“Penumpang memilih Kuala Perlis kerana jarak perjalanan yang lebih singkat cuma sejam berbanding Kuala Kedah hampir dua jam perjalanan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Jelas beliau, setakat ini terdapat 33 perjalanan termasuk 10 trip dari Kuala Perlis dan enam lagi dari Kuala Kedah.
“Di Kuala Perlis, kita buat 11 trip hari ini melibatkan lima trip tambahan dan untuk Terminal Kuala Kedah ada enam trip termasuk satu feri tambahan. Kita jangka permintaan akan bertambah sepanjang cuti sekolah ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE