JOHOR BAHRU – Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) digesa mengambil langkah lebih proaktif dengan mempromosikan program-program berbentuk keagamaan di pelbagai platform media sosial.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd. Naim Mokhtar berkata, hal itu kerana program seperti Majlis Ihtifal Ilmi Sekolah Menengah Agama Malaysia (MIISMAM) kurang diketahui walaupun sudah memasuki tahun kesepuluh penganjurannya.
Sehubungan itu, pengguna media sosial dan teknologi digital penting untuk melakukan penambahbaikan dalam aspek berkenaan.
“Promosi sangat penting, kita perlu cari jalan bagaimana nak promosi program seperti ini secara ‘online’. Kalau boleh lihat sudut itu saya yakin kita dapat perluaskan lagi program seperti ini.
“Oleh itu, Jakim perlu lihat aspek ini kerana usaha mempromosi program melalui media tradisional dilihat kurang (berbanding media sosial),” katanya selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Majlis Ihtifal Ilmi Sekolah Menengah Agama Malaysia (MIISMAM) kali ke-10 yang diadakan di Pusat Islam Iskandar, di sini hari ini.