PETALING JAYA – “Tak perlu nak ada team A atau team B.”
Itu nasihat pelakon Datin Seri Umie Aida berhubung keghairahan khalayak untuk terlalu obses kepada mana-mana pihak sehingga menimbulkan perbalahan dalam media sosial ketika membicarakan masalah keberantakan rumah tangga pasangan selebriti sensasi, Fazura dan Fattah Amin.
Kata Umie atau nama sebenarnya Umi Khalsum Rahmad Ali, 50, tindakan campur tangan atau memilih memberi sokongan kepada pihak tertentu hanya akan memburukkan lagi keadaan.
“Tak perlu nak ada team A atau team B. Cukup mendoakan yang baik-baik dan kita tak perlu masuk campur dalam ujian yang mereka lalui.
“Sayang Fattah dan Fazura,” katanya dalam hantaran video dalam aplikasi TikTok
Video tersebut menunjukkan pelakon filem Embun itu membuat ucapan memberikan sokongan buat pasangan sensasi yang kini berdepan kemelut rumah tangga.
Umie turut menyelitkan pesanan kepada pengikut laman sosialnya agar menjaga percakapan sebelum menulis sesuatu perkara yang tidak baik.
Katanya, setiap insan harus beringat bahawa ujian dan dugaan pasti mendepani kehidupan seseorang.
“Ingat kita sediri pun ada lalui ujian dalam setiap kehidupan kita. Jadi berhati-hati dengan lisan kita semua ya.
“Insya-Allah, semoga segalanya berjalan dengan baik buat mereka berdua,” ujarnya.
Kelmarin, pelakon Fazura memfailkan perceraian terhadap suaminya di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Subang Bestari, Shah Alam yang mencetuskan kekecohan.
Sekali gus berita tersebut mengesahkan spekulasi pergolakan rumah tangga mereka pernah dinafikan kedua-dua personaliti popular terbabit.
Pada masa sama, aktor filem Pendekar Awang itu mengakui masih menyayangi isterinya dengan sepenuh hati, bahkan menolak tuduhan berlaku curang.
Terdahulu, timbul desas desus mendakwa Fattah menjalinkan hubungan sulit dengan penata gaya isterinya sehingga kecoh dalam platform media sosial.
Fattah dan Fazura mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya, empat tahun. – KOSMO! ONLINE