fbpx

Geng basikal lajak buat hal, berlumba turun jejambat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video memaparkan aksi sekumpulan remaja menunggang basikal lajak secara berbahaya di Jalan Teluk Wanjah di Alor Setar pada kelmarin.

ALOR SETAR – Sekumpulan lapan remaja didapati berlumba sesama sendiri dengan menunggang basikal lajak di Jalan Teluk Wanjah, di sini kelmarin.

Satu video berdurasi 20 saat memaparkan aksi kumpulan remaja tersebut menuruni jejambat dengan laju sehingga salah seorang daripada mereka terjatuh di atas jalan raya. Remaja lelaki yang terjatuh itu dilihat bangun dan menunggang semula basikal.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, pihaknya menerima makluman awam mengenai satu video memaparkan aksi sekumpulan remaja tersebut pada pukul 9.24 pagi tadi.

“Video itu memaparkan sekumpulan remaja menunggang basikal secara berbahaya sehingga menyebabkan salah seorang daripadanya hilang kawalan dan terjatuh di atas jalan raya.

“Siasatan awal berdasarkan rakaman tersebut mendapati kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 5.30 petang, Jumaat lalu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kata beliau, ia memaparkan kira-kira lapan remaja menunggang basikal dipercayai jenis basikal lajak berlumba sesama sendiri semasa menuruni jejambat Jalan Teluk Wanjah tanpa menghiraukan pengguna jalan raya lain.

Katanya, polis setakat ini tidak menerima sebarang aduan daripada mana-mana pihak berkenaan kejadian.

“Walau bagaimanapun, satu laporan polis dibuat oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kota Setar bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 54(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kumpulan remaja terlibat diminta tampil menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Ifzam Mohd. Zaini di talian 012-4043373 atau Balai Polis Trafik Kota Setar di talian 04-7321222. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI