PETALING JAYA – Pelakon Liyana Jasmay menyifatkan regu lakonnya dalam projek telefilem istimewa (supertele) komedi romantik, 11 Cinta Sebelum Kamu, Fattah Amin kelihatan baik-baik sahaja walaupun berdepan masalah rumah tangga.
Dalam masa sama, pemilik nama lengkap Liyana Jasmay, 36, mengakui lebih selesa tidak masuk campur hal dalam kain orang lain selain hanya menumpukan perhatian terhadap kerjanya.
“Fattah adalah hero saya dalam projek supertele tersebut. Secara jujur, saya enggan terbabit atau ambil tahu hal orang, tapi apa pun dia okey sahaja di set penggambaran.
“Kami berborak mengenai karakter yang digalas sahaja. Fattah baik-baik sahaja dan kami tidak bercakap soal peribadi pun,” katanya kepada Kosmo! Online.
Melihat karakter Fattah semasa di set penggambaran, pelakon filem Papadom itu menjelaskan aktor itu sangat profesional dalam menjayakan kerjanya.
“Ini kali pertama saya bekerja dengan Fattah dan saya lihat dia sangat profesional.
“Kami macam kawan dalam industri seni di mana ada ‘boundaries’ (sekatan) dan tidak bercakap mengenai orang lain.
“Lebih-lebih lagi, apabila kita sudah lama dalam industri seni. Saya pula sudah berkahwin, jadi kita tidak bercakap mengenai privasi orang lain,” ujarnya lagi.
Pada 13 September lalu, pelakon Fazura mengejutkan ramai apabila memfailkan cerai terhadap Fattah di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari namun tidak mendedahkan perincian tentang kemelut rumah tangga mereka.
Sementara itu, bapa kepada seorang cahaya mata itu pula bertegas masih menyayangi Fazura dan hanya mengetahui isterinya memfailkan cerai menerusi platform media sosial.
Pasangan itu telah berkahwin selama tujuh tahun dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya yang kini berusia empat tahun. – KOSMO! ONLINE