LONDON – Arsenal berdepan aksi ‘derbi London’ menentang musuh tradisi, Tottenham Hotspur dalam keadaan pasukan itu berdepan beberapa masalah melibatkan beberapa pemain tonggak mereka terpaksa diketepikan.
Skuad kendalian Mikel Arteta itu bakal turun dengan masalah di bahagian tengah apabila Declan Rice digantung akibat layangan kad merah, manakala Martin Odegaard juga berdepan malang selepas tercedera ketika beraksi bersama Norway.
Arteta juga tidak dapat menurunkan pemain baharu, Mikel Merino yang mengalami kecederaan ketika sesi latihan ketika dia masih belum membuat sebarang penampilan setakat ini.
Rekod perlawanan menentang Spurs sebelum ini menyaksikan Arteta memiliki pencapaian cemerlang apabila meraih kemenangan dalam dua perlawanan di tempat lawan sebelum ini, sekali gus memberi keyakinan untuk mereka menghadapi aksi kali ini.
Sepanjang mengemudi The Gunners, Arteta sudah memimpin Arsenal menentang Spurs dalam sembilan perlawanan dan meraih lima kemenangan dan hanya tiga kali mengalami kekalahan, manakala satu lagi aksi berakhir seri.
Lebih melonjakkan semangat Arteta untuk meraih kemenangan kali ini adalah selepas pihak pengurusan kelab membuat keputusan melanjutkan kontrak pengendali dari Sepanyol itu menyaksikan beliau kekal di Emirates untuk tempoh tiga musim lagi.
Kontrak semasa Arteta itu bakal berakhir musim panas tahun depan dan kontrak baharu itu menyaksikan beliau menerima peningkatan pendapatan sekali gus menggalas misi Arsenal untuk menamatkan penantian trofi sejak 20 tahun lalu.
“Saya berasa sangat bangga dan teruja untuk menghadapi cabaran mendatang. Saya gembira untuk berada di kedudukan ini dan mempunyai hubungan yang baik dengan semua yang berada di kelab ini.
“Saya sangat bertuah untuk bekerja setiap hari dengan mereka yang memiliki impian, saya terinspirasi, tercabar, merasai sokongan dan mahu memberikan sesuatu yang lebih untuk kelab ini,” jelasnya. – AGENSI