LONDON – Aksi ‘derbi London’ menentang musuh tradisi, Arsenal malam ini menyaksikan Tottenham Hotspur terdesak untuk meraih kemenangan ekoran rekod dua kekalahan di gelanggang sendiri dihadapi mereka.
Bagaimanapun, skuad kendalian Ange Postecoglou menerima berita kurang baik selepas pemain tengah, Yves Bissouma berdepan isu kecergasan dan berdepan masalah kecederaan ketika aksi antarabangsa sebelum ini.
Bissouma, 28, terpaksa dikeluarkan pada minit ke-65 ketika berjaya menjaringkan gol kemenangan untuk Mali yang berdepan Eswatini pada aksi kelayakan Piala Dunia 2026 sekali gus menimbulkan keresahan buat Postecoglou yang berharap dapat menurunkan tonggaknya itu.
Postecoglou sebelum ini turut kehilangan beberapa pemain tonggak termasuk penggempurnya, Richarlison, pemain pertahanan, Micky Van De Ven dan penyerang baharu, Dominic Solanke yang mengalami kecederaan.
Bissouma beraksi cemerlang ketika Spurs meraih kemenangan 4-0 ke atas Everton, malah dia turut menghasilkan jaringan sekali gus menjadikannya tonggak penting Postecoglou untuk menghadapi Arsenal.
Pengurus berasal dari Australia itu juga masih belum menikmati kemenangan berdepan Arsenal sejak dilantik mengemudi pasukan itu musim lalu apabila terikat 2-2 pada aksi di Emirates September tahun lalu, sebelum tewas 2-3 di Stadium Tottenham Hotspur pada April lalu.
“Kami mahu menjadikan kelab ini mampu mencabar semua pasukan untuk kejuaraan bukan sahaja Arsenal. Kami sedang mencubanya dan untuk itu kami perlu terus beraksi dengan tahap yang konsisten.
“Kami memiliki pasukan yang kuat untuk melakukannya, tetapi kami perlu memulakan musim dengan solid terutama dari perspektif persembahan yang dipamerkan. Kami perlu memperbaiki kedudukan musim ini supaya lebih baik berbanding musim lalu,” jelasnya. – AGENSI