LIVERPOOL – Pasukan Liverpool gagal meneruskan momentum cemerlang selepas tewas mengejut 0-1 kepada Nottingham Forest pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Anfield sebentar tadi.
Pada perlawanan itu, skuad The Reds yang dikendalikan oleh Arne Slot membariskan kesebelasan terbaik dengan Mohamed Salah, Luis Diaz dan Diogo Jota mengetuai jentera serangan.
Pasukan tuan rumah meraih beberapa percubaan awal ke gawang Forest tetapi tidak dapat menembusi gawang lawan dengan kedudukan 0-0 kekal sehingga tamat babak pertama.
Bersambung pada separuh masa kedua, Forest melakukan rombakan dalam kesebelasan utama dengan memasukkan Callum Hudson-Odoi dan Anthony Elanga untuk menguatkan jentera serangan.
Keputusan tersebut ternyata membuatkan hasil apabila Hudson-Odoi meledak gol tunggal perlawanan pada minit ke-72 selepas menerima hantaran Elanga.
Tersentak dengan jaringan tersebut, Liverpool cuba bangkit tetapi ketumpulan jentera serangan memastikan pasukan pelawat berjaya mencuri tiga mata berharga.
Sementara itu, di Stadium Etihad, Manchester City berjaya mengekalkan rekod bersih EPL musim ini dengan melakar keputusan 2-1 ke atas Brentford.
Penyerang sensasi The Citizens, Erling Haaland meledakkan dua gol buat tuan rumah sekali gus bangkit daripada ketinggalan 0-1 selepas The Bees meraih gol seawal minit pertama menerusi penyudah Yoanne Wissa. – KOSMO! ONLINE