ALOR GAJAH – Kegembiraan sebuah keluarga bercuti di Pantai Pengkalan Balak di sini tidak berpanjangan apabila empat daripada mereka dan seorang pemancing nyaris lemas dihanyutkan ombak kuat tengah hari tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang itu, tiga mangsa sekeluarga berusia 15 tahun dan seorang 31 tahun, manakala pemancing berusia 26 tahun terselamat hasil tindakan pantas pasukan bomba.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, Balai Polis Masjid Tanah menerima maklumat berhubung kejadian pada pukul 1.20 tengah hari dan tiga anggota ditugaskan ke lokasi kejadian.
“Kita mendapat maklumat ada dua mangsa lelaki dan dua perempuan hampir lemas dipukul ombak.
“Seorang lelaki yang sedang memancing di lokasi mendengar jeritan mangsa meminta tolong dan cuba menyelamatkan mereka tetapi dia juga nyaris lemas dibawa ombak,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Jelasnya, tindakan pantas anggota Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah yang tiba di lokasi berjaya menyelamatkan kesemua mangsa.
“Empat mangsa yang nyaris lemas datang bersama 10 ahli keluarga yang lain, namun mereka naik ke pesisir pantai. Difahamkan keluarga ini datang bercuti dari Selangor dan menetap di rumah inap desa di Pengkalan Balak,” katanya.
Tambahnya, kesemua mangsa dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk rawatan lanjut. – KOSMO! ONLINE