SEPANG – Pelumba berbakat negara, Azroy Hakeem Anuar memastikan lagu Negaraku berkumandang di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) selepas muncul juara saingan SS600 pada perlumbaan Pusingan 5 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) sebentar tadi.
Kemenangan tersebut amat bermakna buat Azroy kerana semalam dia bergelut dengan masalah jentera sekali gus terlepas untuk menaiki podium apabila hanya mampu menamatkan saingan di tempat keempat.
Azroy yang beraksi bersama pasukan Idemitsu Boon Siew Honda Racing Team mengucapkan terima kasih kepada pasukannya apabila berjaya memperbaiki masalah tersebut sekali gus menoktahkan kemenangan di laman sendiri.
“Syukur Alhamdulillah dengan kemenangan hari ini dan pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan kerana semalam kami bergelut dengan masalah pada jentera.
“Apapun, kemenangan ini baik untuk pasukan terutama untuk perebutan gelaran bagi kategori pasukan. Semalam saya agak kecewa kerana tak dapat berada di atas podium malah hanya berada di kedudukan keempat. Hari ini saya bermati-matian untuk berada di hadapan.
“Pada akhirnya, saya berjaya dapat menamatkan saingan di tempat pertama di laman sendiri. Apapun, kemenangan ini amat bermakna buat saya kerana esok kita akan menyambut Hari Malaysia dan ini adalah untuk Malaysia,” katanya sejurus tamat perlumbaan sebentar tadi.
Dalam pada itu, Azroy tekad membawa bekalan kemenangan tersebut menjelang perlumbaan pusingan terakhir di Buriram, Thailand nanti terutama untuk memburu gelaran SS600 biarpun sedar bukan mudah apabila dia kini ketinggalan 42 mata dengan pelumba pasukan tuan rumah, Apiwath Wongthanon (Yamaha TEKHNE Racing Team ASEAN).
“Secara kiraan matematik memang ada peluang untuk muncul juara keseluruhan tetapi saya akui bukan mudah kerana kita tahu pelumba Thailand sangat kuat bila mereka bersaing di laman sendiri. Tetapi saya tetap ingin melakukan terbaik untuk juara di Buriram nanti,” ujarnya.
Sementara itu, pelumba veteran, Ahmad Fazrul Sham yang bersaing bersama pasukan CARDINALS FACTORY RACING TEAM ARRC turut cemerlang apabila meraih kemenangan UB150 selepas bijak mencari ruang memintas pelumba hadapannya untuk muncul juara di Sepang.
Tempat kedua menjadi milik, pelumba Indonesia, Adyta Fauzi (RACETECH SIXTY Racing Team) dan seorang lagi pelumba negara, Nazirul Izzat Bahauddin yang bersaing bersama pasukan UMA Racing YAMAHA Maju Motor Asia Team berjaya menempah podium tempat ketiga. -KOSMO! ONLINE