PETALING JAYA – Anak dituduh ‘menunggang’ isu rumah tangga Fattah Amin dan Fazura, penerbit Datuk Ayu Puteh menempelak netizen dengan menegaskan foto dimuatnaik Wanna Ali bersama aktor Fattah Amin merupakan promosi drama terbaru mereka.
Kata Ayu atau nama sebenarnya Normashayu Puteh, 48, puterinya yang juga pelakon utama Lelaki Melayu Terakhir yang kini disiarkan di platform Tonton bukan penyondol atau lapar perhatian seperti didakwa pihak tertentu.
“Mohon ya netizen, masing-masing ada artis kesayangan. Wanna Ali ini anak saya, dia bukan buat sembarangan ‘posting’.
“Promosi drama itu sudah pun dijadualkan, semua hanya kebetulan. Drama Lelaki Melayu Terakhir sedang ditayangkan. Dia bekerja.
“Kalau tak suka pun, janganlah sampai maki-maki anak orang tahap begitu. Dia bukan penyondol atau tak sensitif atau nak publisiti,” katanya menerusi InstaStory.
Pemilik rumah produksi Pencil Pictures and Records itu turut menasihatkan netizen supaya menjaga tutur kata dalam media sosial.
“Dia (Wanna) orang pandai, orang baik hati. Anak yang baik kepada saya.
“Jagalah tulisan dan adab anda kalau nak komen pun,” ujarnya lagi.
Sebelum ini Wanna, 26, dikecam tidak sensitif apabila berkongsi gambar dalam Instagramnya dengan Fattah beberapa jam selepas Fazura memfailkan penceraian terhadap lelaki itu.
Sehubungan itu, netizen mendakwa pelakon terbabit tidak sensitif dengan situasi semasa yang sedang melanda pasangan tersebut sehingga laman sosialnya menjadi medan serangan.
Malah biarpun ada yang menyarankannya memadam hantaran itu, Wanna tidak berbuat demikian sebaliknya memilih untuk menutup ruangan komen.
Pada masa sama, pelakon berkenaan turut mempertahankan diri dengan menyatakan tidak tahu mengenai berita panas berkaitan pasangan terbabit, selain memuatnaik gambar bersama Fattah mengikut jadual promosi.
Kelmarin Fazura atau Nur Fazura Sharifuddin memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Shah Alam, sekali gus mengesahkan spekulasi pergolakan rumah tangga mereka. – HIBGLAM