fbpx

Anak sambung legasi bapa sertai tentera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Indiran dan ibunya menunjukkan gambar mendiang bapa ketika ditemui sempena Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 2002024 di Padang Kawad Pusasda, hari ini. Foto MOHD SHAHJEHAN MAAMIN

PORT DICKSON – Walaupun tragedi sebuah pesawat jenis Beechcraft B200T terhempas di Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang kira-kira lapan tahun lalu meragut nyawa bapanya, seorang anak tidak gentar untuk bergelar tentera.

Bahkan, Perajurit Muda, K. Indiran, 20, berkata, tragedi 21 Disember 2016 itu yang mengorbankan bapanya Mejar (kini Leftenen Kolonel) C. Kayamboo di usia 44 tahun, tidak sedikit pun menghakis perasaan dia dan tiga lagi adiknya untuk berkhidmat buat negara.

Menurutnya, mendiang ayahnya akan terus kekal sebagai perwira negara dan merupakan sebahagian daripada pasukan beruniform yang sentiasa mempertahankan kedaulatan negara.

“Ini cita-cita saya untuk jadi macam arwah (mendiang) ayah. Ayah salah seorang perwira negara. Walaupun (tragedi) ini terjadi, saya sebagai anak sulung, kena pastikan khidmat ayah untuk negara ini diteruskan oleh kami adik-beradik.

“Setiap kali saya berhadapan dengan cabaran ketika latihan, saya sentiasa teringatkan ayah,” katanya sempena Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 200/2024 di Padang Kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda), di sini, hari ini.

Sementara itu, seorang bekas pekerja kilang, Perajurit Muda, Ahmad Hasnain Makhluf Azizul Hakim, 24, dari Kompeni Alpha yang dan berasal dari Seremban, terpilih menjadi Perajurit Muda Keseluruhan Terbaik.

Ahmad Hasnain dan keluarganya ketika ditemui sempena Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 2002024 di Padang Kawad Pusasda, hari ini. Foto MOHD SHAHJEHAN MAAMIN

Beliau dipilih berdasarkan kepimpinan, dedikasi tinggi, kesungguhan, kegigihan dan inisiatif tinggi yang dipamerkan serta kebolehan di dalam semua aspek latihan dan kecemerlangan dalam setiap ujian yang dilaksanakan.

Menurut Ahmad Hasnain, keputusan untuk menyertai pasukan beruniform Angkatan Tentera itu dibuat selepas dia memikirkan kembali saranan arwah datuknya yang merupakan pesara tentera askar Melayu.

“Arwah datuk dulu selalu cakap lepas habis sekolah kau (saya) masuklah askar tapi saya degil. Bila dah lama tu, dah empat tahun kerja kilang, baru saya terfikir, baru saya ikut cakap datuk. Ikutkan datuk saya berkhidmat selama 21 tahun dalam tentera.

“Alhamdulilah saya terpilih dan saya tidak menyangkakan keputusan ini juga membawa kepada kejayaan merangkul anugerah terbaik. Terima kasih buat ibu dan isteri serta keluarga yang sering mendoakan kejayaan saya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI