fbpx

‘Akhmal terjun selamatkan saya sebelum hilang di laut’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bot yang dinaiki mangsa bersama Mohd. Nasrul Shah (kanan) dan jurumudinya, Mohd. Syahir Sabeli di Tanjung Piandang, Parit Buntar hari ini. - Foto WAT KAMAL ABAS / KOSMO!

PARIT BUNTAR – “Dia terjun untuk selamatkan saya yang terjatuh dari bot. Ketika itu ribut dengan keadaan gelombang besar.”

Demikian kata Mohd. Nasrul Shah Syed Mohd. Yusoff, 16 , ketika menceritakan detik cemas dialaminya pada awal pagi tadi, sebelum rakan yang menyelamatkannya, Mohamad Akhmal Mohd. Yusuf, 23, hilang di laut kira-kira pukul 5 pagi di perairan Tanjung Piandang di sini.

Menurutnya, dia pergi ke laut bersama tiga rakan lain termasuk mangsa sekitar pukul 5 petang semalam bagi menangkap ikan tenggiri di perairan itu.

“Sekitar pukul 5 pagi, hujan turun dengan lebat termasuk berlakunya ribut dan gelombang arus laut agak besar serta tinggi menyebabkan bot kami naiki hampir terbalik. Ketika itu saya jatuh ke dalam laut.

“Hanya Mohamad Akhmal (mangsa) yang mungkin ternampak saya jatuh dan dia telah terjun untuk menyelamatkan saya.

“Ketika di dalam air, jarak antara saya dan dia agak jauh, namun dia berenang bagi merangkul saya yang pada masa itu telah beberapa kali tenggelam timbul dengan keadaan mulut dipenuhi air laut,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Jeti Nelayan Kampung Sungai Betul, Tanjung Piandang hari ini.

Menurut Mohd. Nasrul Shah, keadaan laut pada masa itu agak bergelora dengan ombak yang besar menyebabkan dia dan mangsa beberapa kali terpisah.

“Dia telah dipukul gelombang besar dan saya hanya nampak tangannya tergapai-gapai tenggelam timbul sebelum hilang daripada pandangan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Maritim Zon Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd. Najhan Azman Hamid berkata, pihaknya menerima laporan daripada MERC 999 pada pukul 7 pagi dan pihaknya dibantu beberapa agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia, Jabatan Perikanan serta komuniti nelayan setempat mencari mangsa.

“Operasi hari ini akan dihentikan pada sebelah malam sekiranya tidak mempunyai sebarang petunjuk dan akan disambung semula esok pagi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI