TANGKAK – Seramai 60 pendaki berdepan detik mencemaskan selepas terkandas di Kolam Puteri Air Terjun Gunung Ledang ekoran hujan lebat tengah hari ini tadi.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangkak, Rafiah Aziz, pihaknya menerima panggilan daripada penguat kuasa Air Terjun Gunung Ledang mengenai kejadian itu pada pukul 12.51 tengah hari.
“Setibanya anggota bomba di lokasi, terdapat 60 orang awam terkandas akibat aliran deras yang datang dari puncak Gunung Ledang ekoran hujan lebat.
“Pihak bomba membawa mereka menyeberangi sungai menggunakan rescue rope. Kesemua mangsa yang terselamat terdiri daripada individu dewasa,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Rafiah, orang ramai diminta peka dan berwaspada apabila mengunjungi tempat riadah atau perkelahan di sungai atau air terjun pada waktu hujan sempena musim cuti sekolah ini.
“Ibu bapa harus cakna dan sentiasa melihat keadaan sekeliling lokasi mandi-manda jika terdapat petanda awal kepala air antaranya air bertukar keruh, daun hanyut bertambah di aliran air secara tiba-tiba dan sebagainya,” kongsinya. – KOSMO! ONLINE