fbpx

2.2 juta kenderaan keluar ibu kota, lebih tinggi berbanding raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Peningkatan trafik yang tinggi berikutan pergerakan kenderaan keluar daripada ibu kota sempena cuti panjang dilaporkan lebih meningkat berbanding musim perayaan.

Lembaga Lebuh Raya (LLM) berkata, dapatan tersebut hasil daripada pemantauan pusat pengurusan trafik di Lebuh Raya Utara Selatan jajaran Utara dan Selatan serta Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak.

Menurutnya, berdasarkan rekod, bilangan trafik di Lebuh Raya Utara Selatan mencatatkan sebanyak 2.2 juta kenderaan berbanding purata pada musim perayaan sebanyak 2.05 juta kenderaan dalam tempoh 24 jam.

“Begitu juga dengan bagi Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuh Raya Pantai Timur dimana bilangan kenderaan adalah berjumlah 349,000 berbanding purata musim perayaan (342,000).

“Beberapa insiden kemalangan yang berlaku di sesetengah lokasi juga menambah buruk keadaan kesesakan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah LLM, trafik dijangka kekal tinggi terutama pada hari-hari terakhir cuti kelepasan am dan cuti persekolahan.

Dalam pada itu, LLM berkata, pihaknya bersama syarikat konsesi mengambil tindakan untuk mengaktifkan ‘smartlane’ di beberapa lokasi ‘hot spot’ bagi membantu menambah kapasiti lorong sebagai langkah mengurangkan kesesakan.

“Selain itu, tiada penutupan lorong untuk kerja penyenggaraan lebuh raya dibenarkan sepanjang cuti persekolahan ini kecuali melibatkan kerja kecemasan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI