PETALING JAYA – Aliran trafik di Lebuh Raya Utara-Selatan pagi ini dilaporkan sesak dengan pertambahan kenderaan sempena cuti sekolah dan hujung minggu.
Semakan Kosmo! di laman Facebook Astro Radio Trafik mendapati, berlaku kesesakan sejauh 26 kilometer (km) arah utara dari Rawang ketika ini ekoran peningkatan jumlah kenderaan sejak pukul 7.30 pagi tadi.
Menerusi laporan trafik tersebut, turut dikongsikan maklumat kemalangan yang berlaku menghala ke selatan.
“Trafik perlahan tiga km dari Lembah Beringin ke Bukit Tagar disebabkan penutupan lorong kiri bagi kerja pengalihan dan pembersihan kemalangan treler dan sebuah buah lori di KM420.2, awal pagi tadi.
“Pemandu arah bertentangan dinasihat tidak memperlahankan kenderaan untuk melihat insiden kerana kesesakan kini berpanjangan 26 kilometer dari Rawang,” katanya.
Sementara itu, laporan trafik semasa yang dikongsikan Lembaga Lebuhraya (LLM) di Facebook, selain jumlah kenderaan semakin bertambah, terdapat juga beberapa kemalangan dilaporkan sepanjang laluan ke utara dan selatan yang menyebabkan peningkatan aliran trafik di kawasan terlibat. – KOSMO! ONLINE