fbpx

Tunjuk bawang, Mad Sabu buktikan Malaysia tanam 30 hektar – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar ketika merasmikan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini hari ini. Foto oleh: FARIZ ROSADIO/KOSMO!

SERDANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu pernah menunjukkan bawang kepadanya bagi membuktikan negara telah berjaya menghasilkan tanaman tersebut.

Jelas Anwar, perkara itu telah berlaku di pejabatnya di Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebelum ini.

“Untuk meyakinkan saya, menteri (Mohamad) telah bawa bawang kepada saya dan buktikan bahawa Malaysia telah ada tanaman bawang yang ditanam di kawasan seluas 30 hektar.

“Bayangkan dulu, kita bergantung seratus peratus kepada bawang dari luar, kita tiada hasil sendiri mungkin kerana kesuburan tanah dan faktor-faktor lain.

“Namun kali ini kementerian ini (KPKM) buktikan bahawa kita boleh hasilkan tanaman bawang ini sendiri, tahniah saya ucapkan kepada menteri,” katanya ketika berucap perasmian Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini hari ini.

Dalam pada itu, Anwar berkata, Malaysia merupakan sebuah negara bertuah dan kaya dalam pelbagai sudut terutamanya tanah yang subur, maritim yang luas dan sebagainya.

“Dulu getah kita pernah berada nombor satu di dunia, minyak kelapa sawit kita juga sama nombor satu di dunia.

“Saya tekankan di sini, tiada apa yang mustahil untuk kita hasilkan, kita perlu bekerja sebagai satu pasukan dan tidak boleh diambil lewa seperti dulu jika ingin jamin produktiviti,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI