fbpx

Terbuka Hong Kong: Pearly-Thinaah selangkah jadi juara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEARLY-THINAAH dipaksa bermandi peluh sebelum membenam Ha Na-So Hee untuk melangkah ke perlawanan akhir Terbuka Hong Kong. - AFP

KUALA LUMPUR – Beregu wanita No.1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah meneruskan misi memburu gelaran sulung dalam tempoh hampir dua tahun selepas melangkah ke perlawanan akhir pada Kejohanan Badminton Terbuka Hong Kong.

Pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Hong Kong Coliseum, Kowloon sebentar tadi, pasangan No.8 dunia itu mengenepikan cabaran pilihan utama dari Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee menerusi kemenangan tiga set 22-20, 17-21, 21-15.

Lebih manis, ia merupakan kemenangan kedua berturut-turut Pearly-Thinaah ke atas beregu No.2 dunia itu selepas turut melakukannya di separuh akhir pada Terbuka Korea dua minggu lalu.

Turun sebagai pilihan ketiga kejohanan, pasangan negara pada awalnya ketinggalan agak jauh 8-14 di set pertama kepada Ha Na-So Hee sebelum melakukan kebangkitan apabila mengutip mata demi mata untuk mengikat kedudukan 20-20.

Tuah nyata memihak kepada Pearly-Thinaah apabila pemain lawan melakukan beberapa kesilapan mudah, sekali gus memberi peluang kepada pemenang pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu menamatkan permainan 22-20.

Berbekalkan keyakinan hasil kemenangan awal, anak-anak buah Hoon Thien How itu tampil dengan aksi lebih meyakinkan di set kedua apabila bermula garang dengan mendahului perlawanan 5-0.

Bagaimanapun, Korea yang masih belum berputus asa memperkemaskan permainan dan berjaya menyamakan kedudukan 10-10, namun Pearly-Thinaah mendapat kelebihan apabila kembali berada di depan 11-10.

Kemudian, kedudukan berubah secara tiba-tiba apabila Ha Na-So Hee berjaya memperkemaskan permainan dan berada di depan 16-14 sebelum menang 21-17 bagi mengheret perlawanan ke set penentuan.

Memasuki set ketiga, beregu Korea mengekalkan momentum apabila menampilkan aksi cukup baik di awal permainan untuk mendahului 5-3, namun Pearly-Thinaah kembali mengejar dan kedudukan terikat 10-10.

Ketika mendahului 17-12, naib juara Terbuka Korea itu tidak menoleh ke belakang lagi apabila mengutip mata demi mata sebelum memastikan slot ke perlawanan akhir menerusi kemenangan 21-15.

Menjelang aksi final esok, Pearly-Thinaah akan menantikan pemenang antara satu lagi beregu Korea, Kim So Yeong-Kong Hee Yong dan pilihan kedua dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning yang turun membuat perhitungan sebentar lagi.

Kali terakhir pasangan negara itu muncul juara dalam saingan Jelajah Dunia BWF (Persekutuan Badminton Dunia) adalah ketika mereka memenangi kejohanan Terbuka Perancis pada Oktober 2022. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI