fbpx

Tauke hotel senyum lebar, bilik habis ditempah peminat RXZ

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBAHAGIAN peminat motosikal Yamaha RXZ sudah memenuhi Litar Permotoran Terengganu, Kuala Nerus semalam

KUALA TERENGGANU – Sebahagian daripada 80,000 peminat motosikal Yamaha RXZ mula memenuhi bandar raya ini dan Kuala Nerus semalam, sempena program Himpunan RXZ Members 6.0 hingga penginapan bilik hotel dan inap desa hampir penuh.

Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Terengganu, Suaibah Harun berkata, lebih 95 peratus bilik penginapan hotel dan resort di negeri ini te­lah penuh hujung minggu ini berikutan penganjuran program tahunan terbabit.

“Bilik hotel dan resort terutama sekitar bandar raya ini dan Kuala Nerus telah ditempah pe­langgan sejak lebih sebulan lalu.

“Selain penganjuran Himpunan RXZ Members 6.0, bermula­nya musim cuti persekolahan mulai hari ini (semalam) juga faktor sambutan memberangsangkan itu,” katanya ketika dihubu­ngi Kosmo! semalam.

Suaibah yang juga Pengurus Besar Hotel Primula, di sini, memberitahu, semua bilik di hotel kendaliannya juga penuh pada hujung minggu ini.

Beliau berkata, senario sama berlaku di kebanyakan 37 hotel yang bernaung di bawah MAH Terengganu terutama terletak di bandar raya ini.

“Kami mengalu-alukan kedatangan semua pelancong dan memberi komitmen untuk menyediakan perkhidmatan terbaik dan berkualiti sepanjang bercuti bersama rangkaian hotel MAH Terengganu,” katanya.

Dalam pada itu, tinjauan mendapati, sebahagian peserta sudah mula tiba sejak awal pagi semalam selain ada yang sudah ke lokasi utama di Litar Permotoran Terengganu di Kuala Nerus untuk berkumpul dan bergambar kenangan.

Setakat ini, suasana masih terkawal dengan beberapa ­aliran trafik laluan masuk ke Litar Permotoran Terengganu telah dikawal polis.

Antara tindakan yang diambil adalah laluan berkenaan telah ditutup untuk kegunaan ken­deraan lain selain motosikal bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.

Selasa lalu, Kosmo! melapor­kan, Polis Terengganu mengi­ngatkan kira-kira 80,000 peminat motosikal Yamaha RXZ yang dijangka membanjiri Himpunan RXZ Members 6.0 di negeri ini agar mematuhi peraturan lalu lintas yang ditetapkan.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairuddin berkata, kehadiran mereka amat dialu-alukan tetapi pematuhan undang-undang trafik perlu diberi keutamaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI