fbpx

[VIDEO] Sesak teruk orang Malaysia beratur masuk Hatyai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Orang ramai beratur panjang di Stesen KTM Padang Besar untuk ke Hatyai, Thailand pada pagi tadi.

PADANG BESAR – Kira-kira 500 orang beratur panjang di Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Padang Besar untuk ke Hatyai, Thailand pada pagi ini.

Jumlah penumpang kereta api State Railway of Thailand (SRT) ke negara jiran itu meningkat bermula hari ini berikutan musim cuti sekolah serta cuti umum Hari Malaysia dan Maulidur Rasul.

Tinjauan di Stesen KTM Padang Besar mendapati kira-kira 500 penumpang beratur sepanjang 60 meter menuju ke bahagian pemeriksaan imigresen dan kastam.

Mereka menaiki kereta api dari Padang Besar ke Hatyai itu kira-kira pukul 11.45 pagi dengan tiket 50 baht iaitu kira-kira RM8 seorang.

Mengikut jadual perjalanan, trip tersebut adalah pada pukul 11.15 pagi dan mengalami sedikit kelewatan berikutan jumlah penumpang yang ramai.

Menurut Fatin Nabila Md. Yusof, 29, dari Ipoh, Perak, dia dan empat rakan merancang bercuti ke Hatyai sejak sebulan lalu.

“Saya sudah tiga kali ke Hatyai dan kali ini bawa rakan-rakan pula ke sana. Kami ke sana untuk ‘food hunting’,” katanya di sini hari ini.

Katanya, makanan di Thailand sedap dan murah.

Seorang penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok di Sungai Petani, Nor Nazliha Ederose @ Idrus, 22, berkata, dia dan rakan menaiki kereta api kerana lebih cepat dan murah.

“Saya dan rakan ke sana tiga hari dua malam sahaja. Nak cari tomyam dan makanan popular Thailand,” ujarnya.

Seorang pekerja swasta, Amalina Zulkhairi, 38, pula berkata, dia membawa 10 ahli keluarga ke Hatyai untuk bercuti sempena cuti sekolah ini.

“Saya tempah hotel kira-kira sebulan lebih awal kerana biasanya tempahan hotel di kawasan tumpuan penuh.

“Seronok bercuti di Hatyai kerana makanan sedap, banyak barang jualan yang menarik. Harga di Hatyai tidak lah terlalu murah tetapi berbaloi,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI