SKUAD hoki lelaki kebangsaan memiliki tugas yang cukup penting menjelang aksi terakhir peringkat liga sepusingan (round robin) menentang Korea Selatan pada kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2024 di Inner Mongolia, China hari ini.
Hanya kemenangan yang mampu memberi jaminan kepada skuad Speedy Tigers untuk melayakkan diri ke separuh akhir memandangkan China dan Jepun masih mampu menggugat kedudukan tersebut.
Justeru, ketua jurulatih, Sarjit Singh bersama barisan kejurulatihan sedia mencari ramuan terbaik untuk menundukkan Korea, lebih-lebih lagi Malaysia sedang berdepan masalah kecederaan pemain.
“Rehat sehari esok (hari ini), pemain-pemain perlu mendapatkan rehat mencukupi. Barisan kejurulatihan akan membuat persiapan terbaik menjelang perlawanan terakhir (round robin) bertemu Korea.
“Korea sebuah pasukan yang bagus dan kami perlu berada pada prestasi terbaik untuk bertemu mereka nanti. Hanya kemenangan yang akan menjamin pasukan untuk melayakkan diri ke separuh akhir,” katanya.
Kelmarin, Malaysia kembali menghidupkan peluang untuk melayakkan diri ke separuh akhir apabila terpaksa mengerah segala kudrat ketika mencatat kemenangan tipis 5-4 ke atas naib juara edisi 2021, Jepun.
Bagaimanapun, Sarjit percaya jika anak-anak buahnya tidak mensia-siakan deretan peluang terhidang, pasukan negara mampu untuk menewaskan Jepun dengan jaringan lebih besar, seterusnya meletakkan Malaysia dalam situasi lebih selesa.
Terdahulu, Malaysia memulakan kempen kali ini dengan agak goyah apabila gagal mencatat kemenangan dalam tiga aksi terawal, termasuk tewas 2-4 kepada China selain dibelasah 1-8 oleh India.