fbpx

Sorghum boleh ganti beras waktu bencana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHAZAM menunjukkan jenis bijirin dan benih sorghum ketika ditemui di MAHA 2024, MAEPS Serdang semalam. – AMIR KHALID

SERDANG – Ramai daripada rakyat Malaysia tidak mengetahui sorghum atau tanaman sekoi yang bukan semata-mata dijadikan makanan untuk haiwan ternakan, malah sebenarnya ia boleh dianggap sebagai pengganti beras.

Mengambil kira manfaat dan potensinya, Legasi Z Agro Sdn. Bhd. memulakan penanaman sorghum seluas 364 hektar di Kampung Simpang Pelangai, Bentong di Pahang serta Johor Bahru sekali gus usaha memperkenalkan tanaman itu kepada masyarakat.

Pengurus Ladang Legasi Z Agro Sdn. Bhd., Mohazam Monggit berkata, sorghum telah dita­nam secara besar-besaran di Indonesia dan kaya dengan pelbagai nutrien, selain tanpa gluten yang sesuai untuk pesakit kulit atau gout.

“Kaedah penanaman tidak sukar iaitu mengambil masa 115 hari untuk tuaian. Selepas sebulan ia boleh berbunga lagi dan kita boleh cantas sedikit untuk anak pokok bercambah lagi.

“Jika mahu menjadikannya benih, perlu tunggu lebih 120 hari sebelum dituai,” katanya ketika ditemui pada Pameran Perta­nian, Hortikultur dan Agropelanco­ngan Malaysia (MAHA) 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini semalam.

Katanya, sorghum boleh dijadikan pengganti nasi terutama ketika waktu terdesak seperti banjir atau bencana, berbanding tanaman ubi yang mengambil masa enam hingga tujuh bulan untuk mendapatkan hasil.

“Sorghum juga boleh dikisar dan dijadikan tepung untuk membuat kek, kuih dan sebagai­nya. Ia tanaman tahan lasak serta tidak perlukan racun serangga kerana rintang penyakit.

“Buat masa ini, sorghum tiada di pasaran Malaysia dan kami dalam usaha memperkenalkan tanaman ini kepada rakyat.

“Kita masih melakukan kajian bersama Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka, Universiti Putra Malaysia (UPM) serta Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI),” ujarnya.

Sepanjang beberapa hari membuka reruai di MAHA 2024, sorghum mendapat sam­butan menggalakkan termasuk pengun­jung luar negara yang menggalakkan syarikat itu mengeksport ke peringkat antarabangsa.

Antara khasiat bijirin sorghum ialah rendah lemak, kaya nutrien, tinggi protein, serat, vitamin B serta mikronutrien, menjadikannya salah satu bijirin terpenting selepas jagung, gandum, beras dan soya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI