fbpx

Sindiket belasah anak, minta wang tebusan hampir RM30,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bapa menunjukkan gambar anaknya dipukul oleh sindiket selain dipaksa membayar wang tebusan. KOSMO! /SYAKIR RADIN

KUALA LUMPUR – Luluh hati pasangan suami isteri apabila melihat gambar tubuh badan anaknya dipenuhi dengan kesan lebam akibat dibelasah sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.

Menurut Lam, 52, anaknya, Chan, 27, gagal dikesan sejak keluar rumah mereka dengan menaiki kenderaan bagi urusan kerja di Batu Pahat, Johor, pada 30 Mac lalu.

“Pada 5 Jun, saya menerima pesanan suara dari aplikasi WeChat dan dia (anak) beritahu ditahan sindiket di Myanmar. Sebelum masuk sana, ketika di sempadan Yunnan, China, pemandu meminta kami membayar wang tebusan ¥47,000 (RM28,489.29) jika tidak mahu anak dijual.

“Pemandu dan rakan subahatnya, menunjukkan pistol dan dari suara mereka, saya yakin mereka berasal dari China. Kerana tidak bayar wang, mereka menghantar gambar anak dipukul teruk,” katanya ketika sidang akhbar bersama MHO di Megan Avenue 1, di sini, hari ini.

Sementara itu, seorang wanita tempatan, Lee Yong, 35, turut disyaki hilang di negara sama selepas bekerja sebagai agen kurier di beberapa negara seperti Sepanyol, Thailand, England sebelum ini.

Kata suami mangsa, Yu Sze, 41, perkara itu disedarinya selepas dimaklumkan oleh anak perempuan bahawa Lee Yong tidak dibenarkan pulang ke Malaysia pada 7 September lalu.

“Kami dalam proses penceraian dan dah lama tidak bercakap. Isteri telah menghantar pesanan WhatsApp meminta wang RM80,000 supaya dia boleh balik Malaysia pada 9 September lepas.

“Sindiket minta wang itu dan mengancam dia perlu bekerja sebagai scammer di sana jika gagal berbuat demikian,” jelasnya.

Selain itu, seorang lagi lelaki tempatan berusia 27 tahun yang dikenali sebagai Lesvian, hilang jejak 29 Ogos lalu, selepas pergi ke Chiangmai, Myanmar untuk temuduga kerja di sana.

“Anak saya menaiki kapal terbang dari Kuala Lumpur untuk ke sana. Apabila tiba, dia memberitahu teman wanitanya tentang keberadaannya seterusnya menaiki Ford Ranger.

“Selepas 3 jam, anak saya gagal dihubungi hinggalah ke hari ini. Dia yang bekerja sebagai Eksekutif Jualan di Shopee memaklumkan akan pulang selepas tiga hari,” kata bapa mangsa, Lee Yu, 51.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan segala permintaan sindiket.

“Kita tidak berkompromi dan menggalakan keluarga supaya tidak membuat apa-apa pembayaran.

“Kita percaya kalau bayaran dibuat tetap tidak ada pembebasan bagi mangsa.

“Sekiranya ada permintaan untuk tebusan, jangan buat bayaran, elak berkomunikasi secara berterusan dengan mangsa,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI