fbpx

Siasatan GISBH dijalankan lebih 6 bulan -KPN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Razarudin

PETALING JAYA – Siri serbuan ke atas 20 rumah kebajikan di bawah GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) berhubung dakwaan eksploitasi dan penderaan kanak-kanak adalah kemuncak siasatan selama enam bulan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya telah menyiasat syarikat itu sejak 2011, sebelum dakwaan terhadap GISBH baru-baru ini tular di media sosial.

Katanya, beliau berjumpa wakil dari Pusat Penyelidikan Ajaran Sesat (Pukas) sejak enam bulan lalu bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai kes itu.

“Merekalah yang memberikan maklumat awal kepada kami yang memudahkan pemeriksaan semula pelbagai laporan polis yang dibuat terhadap GISBH,” ujarnya.

Ini termasuk satu laporan yang dibuat oleh bekas ahli GISBH dari Negeri Sembilan yang kemudiannya ditarik balik.

Wanita itu kemudiannya membuat laporan baharu dan polis membuka siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak.

“Seksyen itu menetapkan bahawa adalah menjadi satu kesalahan bagi sesiapa yang bertanggungjawab untuk menjaga kanak-kanak untuk meninggalkan, mengabaikan atau mendedahkan kanak-kanak tersebut kepada bahaya sehingga menyebabkan dia mengalami kecederaan fizikal atau emosi.

“Wanita itu juga memberi polis petunjuk yang boleh dipercayai dan boleh diambil tindakan,” jelasnya.

Susulan perkara itu, ia membolehkan polis memulakan fasa pertama Op Global dengan bantuan Cawangan Khas dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

“Dua hari sebelum serbuan ke atas rumah kebajikan di Selangor dan Negeri Sembilan, saya menghadiri mesyuarat dengan wakil dari Cawangan Khas dan JSJ dan diberi taklimat mengenai penemuan mereka.

“Ini membawa kepada serbuan, yang berada di bawah fasa dua Op Global. Walaupun siasatan bermula enam bulan lalu, tidak terlambat untuk bertindak kerana tangkapan hanya boleh dilakukan jika ada petunjuk yang boleh dipercayai.

“Saya juga meminta bekas anggota GISBH yang pernah membuat laporan dan menarik balik laporan mereka, supaya tampil ke hadapan dan membantu siasatan.” pesannya.

Terdahulu Kosmo! melaporkan seramai 402 kanak-kanak berusia satu hingga 17 tahun diselamatkan daripada dakwaan eksploitasi dan penderaan. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI