PELUMBA berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom sedia menggalas tanggungjawab sebagai sandaran utama selepas Datuk Azizulhasni Awang memberi bayangan tidak bersaing pada temasya Olimpik 2028 di Los Angeles (LA2028).
Shah Firdaus berkata, kesediaan itu telah dibuktikan apabila menjadi ketua pasukan dalam beberapa kejohanan antarabangsa seperti Sukan Komanwel dan Sukan Asia yang berlangsung sebelum ini.
Bagaimanapun, Shah Firdaus memberitahu, ‘The Pocket Rocketman’ akan terus menjadi mentor buat dirinya untuk memenangi pingat emas Olimpik.
“Saya sedia pikul tanggungjawab itu sejak menyertai pasukan elit ini lagi. Saya juga sudah buktikan ketika mengetuai pasukan dalam Sukan Komanwel dan Asia, kami berjaya dapat keputusan baik.
“Saya rasa tiada masalah, saya tahu lambat laun memang akan pikul tanggungjawab ini. Jadi saya harap generasi selepas saya juga bersedia kerana mungkin lain kali waktu mereka pula,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Atlet kelahiran Muar yang berusia 29 tahun itu memberitahu, dia juga sudah mempersiapkan diri bagi berdepan harapan menggunung rakyat Malaysia yang mahupun pingat emas dalam sukan Olimpik.
“‘Jangkaan itu memang tinggi, Datuk (Azizulhasni) sudah letak sukan berbasikal ini pada tahap tinggi, jadi saya juga kena bersedia mental dan fizikal.
“Walaupun LA2028 empat tahun lagi, namun latihan dan persediaan telah dimulakan. Mungkin orang lihat Olimpik itu empat tahun sekali, tetapi persediaannya adalah lebih daripada empat tahun.
“Saya sendiri sudah kembali berlatih sejak minggu lalu, beberapa minggu selepas Olimpik 2024 berakhir. Alhamdulillah kecederaan akibat temasya itu sudah semakin pulih,” katanya.