fbpx

Sempadan sesak, rakyat Malaysia serbu Thailand sempena cuti sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan lalu lintas yang sesak ekoran orang ramai berpusu-pusu bercuti di Thailand.

ALOR SETAR – Thailand terus menjadi tumpuan rakyat Malaysia sempena cuti sekolah yang bermula semalam ekoran kesesakan luar biasa di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin, dan Keselamatan (ICQS) Kota Putra, Padang Terap dan ICQS Bukit Kayu Hitam, Kubang Pasu.

Difahamkan kesesakan di kedua-dua ICQS itu bermula seawal ia dibuka dengan kenderaan beratur panjang sejauh 800 meter di pintu sempadan Malaysia-Thailand, yang menghubungkan Kota Putra dengan Ban Prakob, Thailand.

Ketua Imigresen ICQS Kota Putra, Shafarina Othman berkata, jumlah pelancong yang melalui pintu sempadan ini meningkat hampir 40 peratus berbanding hari-hari biasa.

“Destinasi seperti Hatyai, Pattani, dan Songkhla menjadi tarikan utama pelancong tempatan, dengan peningkatan ketara dalam jumlah kenderaan yang memasuki Thailand sejak semalam.

“Pada hari biasa, sekitar 400 hingga 600 pelawat menggunakan ICQS Kota Putra, tetapi semalam sahaja, jumlah itu melonjak kepada 1,868 orang. Keadaan ini dijangka berterusan sepanjang cuti sekolah,” katanya di sini hari ini.

Beliau menambah, keadaan sama berlaku di ICQS Bukit Kayu Hitam iaitu pintu masuk utama di utara.

“Sejak Khamis lalu, kesesakan di sini menjadi semakin teruk apabila jumlah pengembara yang menuju ke Thailand bertambah drastik,”ujarnya.

Dalam pada itu menurut Pengarah Jabatan Imigresen (JIM) Kedah, Mohd Ridzzuan Mohd Zain, sebanyak 30,754 pengembara telah keluar masuk melalui ICQS Bukit Kayu Hitam setakat ini.

“Populariti Hatyai dalam kalangan pelancong Malaysia telah menyumbang kepada lonjakan pelawat sepanjang musim cuti ini,” katanya.

Tambah beliau, bagi menangani keadaan ini, pihaknya mengambil langkah segera dengan menambah bilangan kaunter pemeriksaan imigresen di kedua-dua ICQS, Kota Putra dan Bukit Kayu Hitam. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI