PETALING JAYA – Kesemua mangsa yang diselamatkan dalam kes eksploitasi dipercayai didalangi syarikat Global Ikhwan Service and Business Holding (GISB) berada dalam keadaan selamat.
Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kesemua mereka berada dalam jagaan rapi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Kanak-kanak yang diselamatkan itu kini berada di tempat selamat, dibawah jagaan JKM dan pengawasan PDRM.
“Saya ingin memberi jaminan bahawa kanak-kanak tersebut berada dalam perlindungan dan penjagaan yang sewajarnya. Kebajikan mereka kami jaga dengan baik,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook.
Katanya, kementeriannya akan sentiasa memastikan aspek keselamatan termasuk penjagaan dan sokongan sewajarnya dilaksanakan sebaik mungkin terhadap kesemua mangsa yang berjaya diselamatkan.
Tambahnya, kementerian akan sentiasa memantau perkembangan kes berkenaan selain memberi ruang yang secukupnya terhadap pihak berkuasa dalam menjalankan siasatan berhubung kes berkenaan. – KOSMO! ONLINE