PETALING JAYA – Penyerang Kuala Lumpur (KL) City, Haqimi Azim Rosli mahu membalas kepercayaan yang diberi barisan kejurulatihan menjelang aksi Liga Super menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC, malam ini.
Haqimi yakin komitmen yang diberikan rakan sepasukan akan memberi impak positif kepada The City Boys dalam misi mengutip tiga mata berdepan Kedah.
“Syukur Alhamdulillah, persediaan untuk perlawanan Sabtu ini amat baik. Kami ada beberapa pemain yang baru pulang daripada panggilan kebangsaan dan ia tidak menjejaskan persiapan kami.
“Walaupun ketika ini KL City kekurangan penyerang, namun ia tidak menjejaskan prestasi pasukan. Setiap pemain yang bermain pasti akan memberikan yang terbaik,” katanya.
Selepas lapan perlawanan, KL City telah mencatat tiga kemenangan, dua keputusan seri dan tiga kekalahan untuk berada di kedudukan ke-11 dalam saingan Liga Super.
“Itu satu kelebihan juga, beraksi di Stadium Cheras. Jadi kita akan buat yang terbaik untuk mengutip tiga mata di laman sendiri nanti,” katanya. – KOSMO! ONLINE