PETALING JAYA – Barangkali sambutan ulang tahun kelahiran pelakon Fattah Amin tahun ini tidak seindah tahun-tahun sebelumnya.
Mana tidaknya semalam isterinya, Nur Fazura telah memfailkan perceraian selepas tujuh tahun mereka membina mahligai cinta bersama.
Hari ini, permata hati mereka iaitu Nur Fatima Aisya, 4 telah memberikan ucapan selamat hari jadi yang ke-34 buat ayahanda tercinta.
Menerusi hantaran yang dimuat naik dalam akaun Instagram @Fattzuralovelife, Fatima telah mengucapkan selamat hari jadi serta berkongsi beberapa foto mereka bersama.
“Happy birthday Daddy. Enjoy your special day. Love, Fatima,” ucapnya di bahagian kapsyen.
Sementara itu, pada bahagian komen hantaran berkenaan netizen dilihat bersedih dengan situasi yang melanda keluarga itu.
“Sedihnya. Moga yang baik-baik sahaja buat kalian sekeluarga. Selamat hari jadi Fattah,” komen seorang netizen.
“Sedihnya. Seorang isteri yang kuat. Hati tengah bersedih tetapi tetap kongsi gambar suami dan anak sempena hari lahir suami. Terasa sampai sini,” tulis seorang lagi netizen.
Sejak semalam, kisah pergolakan rumah tangga Fattah dan Fazura tular dalam media sosial.
Selepas Fazura memfailkan perceraian terhadap Fattah, pengawal peribadinya pula mendedahkan terdapat orang ketiga dalam perkahwinan majikannya.
Namun, Fattah kemudian mengakui masih menyayangi isterinya dan memohon agar orang ramai mendoakan yang terbaik untuk mereka. – KOSMO! ONLINE