PETALING JAYA – Perjalanan dari Gombak ke Bentong melalui Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dijangka ‘tertangguh’ sehingga 2 jam berikutan kesesakan lalu lintas menghala ke Pantai Timur sempena cuti sekolah penggal kedua yang bermula semalam.
Menerusi kemas kini daripada Trafik Radio Astro di Facebook, keadaan ini juga menyebabkan perjalanan dari Sentul di Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (DUKE) mengalami penangguhan selama sejam.
“Terdapat kelewatan selama 2 jam dari Jalan Gombak, dan di MRR2, kelewatan 2 jam dari Kepong dan kelewatan 3 jam dari Ampang,” katanya.
Dalam laporan trafik tersebut, turut dikongsikan maklumat kemalangan yang berlaku menghala ke selatan.
“Trafik perlahan 10 km dari Kuala Dungun ke Bukit Besi disebabkan oleh lori terbalik menghalang laluan kiri di KM364.7, pagi tadi sedang dalam proses pengalihan menyebabkan berlaku kelewatan setengah jam,” katanya.
Orang ramai dinasihati untuk pandu dengan cermat dan merancang perjalanan dengan teliti dengan membuat persediaan untuk menghadapi kesesakan lalu lintas. – KOSMO! ONLINE.