SEOUL – Pemancing-pemancing di atas sebuah kapal nelayan di luar pantai Pulau Jeju berdepan cabaran luar biasa apabila segerombolan besar pepatung hinggap pada tubuh mereka, lapor akhbar The Korea Times.
Menurut Kapten kapal Jeju Bless, Lee Dong-hyun, puluhan ribu pepatung mula berkerumun sekitar tengah malam pada 8 September lalu ketika dia membawa kumpulan pemancing itu menangkap ikan di luar pantai Gimnyeong, Bandar Jeju.
Serangga itu menutupi seluruh badan kapal itu selama lebih dua jam dan hinggap pada tubuh 10 pemancing dan menyebabkan ketidakselesaan yang ketara.
“Apabila kita menggunakan lampu untuk memancing pada waktu malam, serangga itu sering berkumpul.
“Namun, saya tidak pernah melihat perkara seperti ini.
“Beribu-ribu, berpuluh-puluh ribu datang serentak. Pepatung melekat pada muka dan badan menjadikannya mustahil untuk memancing dengan betul,” ujarnya.
Pepatung itu pada kebiasaannya dilihat dari bulan April hingga Oktober di Korea Selatan. – AGENSI