fbpx

EPL: Southampton mangsa ‘amukan’ United

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DE LIGT (kanan) membuka akaun jaringan bersama United selepas meledak satu gol ketika menewaskan Southampton sebentar tadi. - AFP

SOUTHAMPTON – Selepas mengalami dua kekalahan berturut-turut sebelum ini, Manchester United kembali ke landasan kemenangan selepas menewaskan Southampton 3-0 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) sebentar tadi.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium St. Mary, The Red Devils pada awalnya bermula agak goyah apabila membenarkan pasukan tuan rumah menguasai sepenuhnya 10 minit pertama dengan melakukan gerakan-gerakan berbahaya.

United berpeluang untuk mendahului perlawanan seawal minit ke-15 menerusi penyerang, Joshua Zirkzee, namun ketangkasan penjaga gol Southampton, Aaron Ramsdale memastikan gawangnya tidak dibolosi.

Kemudian, The Saints mensia-siakan peluang terbaik untuk membuka tirai jaringan pada minit ke-32 apabila dihadiahkan sepakan penalti selepas Tyler Dibling dikasari Diogo Dalot, namun percubaan Cameron Archer diselamatkan Andre Onana.

Tiga minit berselang, bek tengah, Matthijs de Ligt membuka tirai jaringan bagi meletakkan United 1-0 di depan selepas menanduk masuk hantaran yang dilakukan pemain tengah, Bruno Fernandes.

Skuad kendalian Erik ten Hag terus menambah derita tuan rumah apabila meledak gol kedua United empat minit sebelum rehat separuh masa pertama menerusi percubaan luar kotak penalti Marcus Rashford.

Memasuki separuh masa kedua, United terus menampilkan aksi cukup meyakinkan apabila langsung tidak mengendurkan asakan ke arah pintu gol Southampton dan hampir beberapa kali untuk meledak gol ketiga.

Southampton yang cuba merapatkan kedudukan kemudiannya melakukan empat pertukaran serentak dengan memasukkan Ross Stewart, Adam Lallana, Ryan Fraser dan Maxwel Cornet bagi menggantikan Archer, Dibling, Ben Brereton Diaz dan Lesley Ugochukwu.

Bagaimanapun, situasi tambah parah buat Southampton apabila kapten, Jack Stephens diarah keluar padang pada minit ke-79 selepas dilayangkan kad merah susulan kekasaran ke atas pemain gantian United, Alejandro Garnacho.

Situasi itu sedikit sebanyak membuatkan United beraksi dalam keadaan lebih selesa dan ia membuahkan hasil apabila mereka berjaya meledak gol ketiga menerusi Garnacho pada penghujung perlawanan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI