LIVERPOOL – Penjaga gol Liverpool, Alisson Becker percaya keghairahan untuk menang menjadi punca utama mereka memulakan kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini dengan cemerlang selepas mengutip sembilan mata dalam tiga perlawanan.
Justeru, Liverpool berharap mereka mengekalkan rentak kemenangan menjelang aksi keempat Liga Perdana apabila melayan kunjungan Nottingham Forest pada perlawanan yang berlangsung di Anfield malam ini.
Alisson berkata, mereka perlu bekerja keras dan tidak berasa terlalu selesa biarpun The Reds merupakan salah sebuah pasukan yang masih mengekalkan rekod kemenangan bersih dalam kempen 2024/25.
“Jurulatih (Arne Slot) merupakan seorang yang sangat bijak dan arahan diberikan tidak terlalu rumit. Saya fikir atas sebab itulah kami mampu menterjemahkan dengan baik apa yang beliau mahukan.
“Memang pasukan berada dalam keadaan cukup yakin ketika ini tetapi kami masih perlu bekerja keras dan memperbaiki setiap kelemahan yang ada. Kami perlu menang (menentang Forest) bagi mengekalkan rekod ini,” katanya.
Pemain Brazil itu juga menganggap ketajaman jentera serangan yang terdiri daripada Mohamed Salah, Diogo Jota dan Luis Diaz turut menjadi penyumbang utama atas permulaan cemerlang bagi saingan musim ini.
“Bagi saya, dia (Salah) adalah seorang pemain yang sangat istimewa tetapi apa yang dilakukan seolah-olah nampak bersahaja. Selain itu, Lucho (Diaz) juga memberi sumbangan cukup besar kepada pasukan,” ujar Alisson. – AGENSI