PUCHONG – Coby Haus, jenama bayi dan kanak-kanak yang semakin popular dalam kalangan pembeli tempatan dan juga luar negara meraikan kejayaan apabila cawangan kedai pertamanya dibuka secara rasmi di sini, hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif yang juga Pengasas Coby Haus, Ken Chan berkata, pembukaan kedai secara fizikal ini membuktikan jenama tempatan itu mempunyai tempat istimewa di hati pengguna.
Beliau yang lebih mesra dipanggil Coby Daddy memberitahu, jenama Coby Haus mula bertapak dalam industri jualan barang keperluan bayi dan kanak-kanak sejak tahun 2010.
“Bermula dengan penglibatan di ekspo, secara ‘live’ di platform media sosial, akhirnya Coby Haus mampu memiliki kedai bayi sendiri selepas 14 tahun.
“Cabaran berniaga secara dalam talian dan fizikal ini sangat berbeza dan menjadi satu cabaran untuk pasukan Coby Haus membuktikan bahawa produk kami mampu bersaing dengan kedai bayi yang lain,” katanya ketika ditemui Kosmo! selepas Majlis Perasmian Coby Haus di sini, hari ini.
Bercerita lanjut mengenai Coby Haus, Cobby Daddy berkata, susun atur yang direka untuk kedai bayi tiga tingkat itu sememangnya mesra pelanggan selain disediakan ruang santai untuk anak-anak kecil bermain.
“Kedai kami ada laluan pejalan kaki yang luas, selesa untuk pelanggan bawa keluarga, yang nak tolak kereta sorong bayi pun tak ada masalah.
“Disediakan juga tanda yang luas untuk kegunaan pelanggan selain kemudahan lif serta tangga untuk bergerak ke setiap tingkat kedai serta taman permainan kanak-kanak sebagai hiburan sepanjang membeli belah di Coby Haus,” jelasnya.
Istimewanya kedai bayi Coby Haus, Coby Dady berkata, terdapat lebih 10 jenama pilihan makanan serta produk penjagaan bayi bermula dari baru lahir sehingga usia enam tahun dengan tawaran harga serendah RM2.
“Produk di kedai kami adalah yang mampu milik, ada yang kita import dari Korea juga kita tawarkan dengan harga jauh lebih murah dari pasaran. Kita mahu pelanggan Coby Haus merasa memiliki produk berkualiti tinggi, tetapi harganya murah,” katanya.
Selain itu, beberapa fokus utama di Coby Haus adalah sudut ‘Baby Oral’ serta ruang kaunseling mengenai penyusuan kepada golongan ibu yang bakal dibuka tidak lama lagi.
Tambah Cobby Daddy, beliau menyasarkan untuk membuka 10 cawangan Coby Haus dalam tempoh tiga tahun termasuklah di Sabah. – KOSMO! ONLINE