fbpx

Agong, Permaisuri berangkat ke istiadat mengarak panji-panji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah ketika istiadat mengarak Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong di Dataran Pahlawan hari ini.

PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah, hari ini berkenan berangkat ke istiadat mengarak Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya.

Menerusi Instagram rasmi Sultan Ibrahim, officialsultanibrahim menjelaskan, Istiadat Mengarak Panji-Panji merupakan antara acara sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bagi tahun 2024.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua disambut alunan Negaraku, disusuli formasi terbang lintas hormat lima pesawat Angkatan Tentera Malaysia (ATM), membawa Jalur Gemilang, bendera ATM, Panji Tentera Darat Malaysia (TDM), Panji Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Panji Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

“Sebanyak 21 das tembakan kehormatan turut dilepaskan oleh 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat) yang diketuai Mejar Hafizan Mat Ghani.

“Seri Paduka Baginda turut berkenan memeriksa perbarisan yang terdiri daripada 57 pegawai dan 847 anggota ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM diketuai Leftenan Kolonel Muhammad Firdaus Sa’ad, Pegawai Memerintah Batalion Ke-21 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD),” jelas hantaran tersebut hari ini.

Panji-Panji merupakan satu penghormatan dan lambang kemegahan, semangat serta ketaatsetiaan yang tidak berbelah bahagi oleh ATM terhadap Raja dan Negara.

Dari sudut sejarah, Panji-Panji berasal daripada bendera yang digunakan oleh suatu ketumbukan angkatan tentera pada zaman dahulu.

Dalam era moden, Panji-Panji serta upacara mengaraknya menyumbang kepada lambang perhubungan sesuatu pasukan atau ketumbukan dengan institusi Diraja dan kerajaan di bawah naungan Baginda.

Istiadat Mengarak Panji-Panji diadakan tiga kali dalam tempoh lima tahun pemerintahan bagi setiap Raja Melayu yang dilantik sebagai Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong iaitu bagi tahun pertama, tahun ketiga dan tahun terakhir pemerintahan. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI