PETALING JAYA – Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) mengakui terdapat kes liwat pernah berlaku membabitkan individu dalam organisasi berkenaan.
Bagaimanapun kata Pengerusi Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Nasiruddin Mohd Ali, kejadian itu cuma satu atau dua kes sahaja.
Malah katanya, tindakan polis menyaring 402 penghuni rumah amal itu tanpa perbincangan terlebih dahulu adalah tidak wajar.
“Memang liwat itu ada satu, dua (kes), tetapi kenapa mahu dirangkumkan semuanya? Malah dikatakan juga berlaku memperdagangkan manusia, mengeksploitasi kanak-kanak.
“Tindakan pihak berkuasa melakukan saringan dan keterangan terhadap keseluruhan 402 kanak-kanak adalah tidak wajar,” katanya menerusi rakaman video yang dimuat naik di akaun media sosialnya hari ini.
Mengulas lanjut, Nasiruddin berkata, pihaknya kesal dan sedih dengan tuduhan tanpa bukti sehingga menerima kecaman serta tohmahan masyarakat terutama di media sosial.
Jelasnya, dakwaan terdapat kanak-kanak disuruh meliwat termasuk pelbagai tuduhan lain termasuk penyediaan ‘air berkat’ adalah tidak berasas dan amat jijik.
Beliau juga menyifatkan tuduhan itu sebagai fitnah yang mahu menjatuhkan perniagaan syarikatnya yang memperjuangkan produk Islam dan mempunyai 20 cawangan rumah amal.
Pada masa sama, beliau berkata, GISBH akan mendapatkan khidmat peguam dan meminta orang ramai membantu membayar kos guaman bagi memperjuangkan kebenaran dan menuntut keadilan.
“Saya mengharapkan tuan puan tolonglah kami untuk bayar peguam, saya tidak malu minta.
“Kita lawan demi kebenaran dan kita nak tunjukkan kebenaran. Kenapa semudah itu (tuduhan) dibuat tanpa berunding, kami tidak menyakitkan orang dan ini sangat sedih,” katanya.-KOSMO ONLINE