fbpx

ACT 2024: Jaringan saat akhir kecewakan Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEMAIN negara (jersi biru) mengawal pergerakan pemain Korea pada aksi terakhir peringkat round robin ACT 2024 sebentar tadi. - MHC

KUALA LUMPUR – Skuad hoki lelaki kebangsaan gagal mencapai objektif untuk mencatat kemenangan ke atas Korea Selatan bagi mengesahkan kemaraan ke separuh akhir pada kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2024.

Pada aksi terakhir peringkat round robin (liga sepusingan) yang berlangsung di Inner Mongolia, China sebentar tadi, skuad kendalian Sarjit Singh itu terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 3-3.

Ketika Malaysia sedang berkira-kira untuk melayakkan diri ke separuh akhir menerusi kedudukan 3-2, Korea berjaya menyamakan kedudukan semasa perlawanan berbaki dua saat hasil pukulan sudut penalti (PC) Yang Ji Hun.

Justeru, Speedy Tigers perlu mengharapkan China tewas ataupun sekurang-kurangnya mencatat keputusan seri menentang Jepun petang ini bagi meneruskan kemaraan ke pentas separuh akhir.

“Sejujurnya, kami berhak untuk menang kerana pemain-pemain sudah memberikan segala-galanya di atas padang. Mereka bermain dengan baik, terutamanya bermula di suku kedua hingga tamat perlawanan.

“PC terakhir yang diterima Korea memang menjadi persoalan mengapa pengadil memberikannya tetapi kami tidak boleh buat apa-apa. Semua bergantung pada perlawanan antara China dan Jepun untuk mengetahui kedudukan terakhir kami,” kata Sarjit.

Dalam aksi menentang Korea, Malaysia menjaringkan tiga gol menerusi jaringan Azrai Abu Kamal, Norsyafiq Sumantri dan Faizal Saari manakala gol Korea dijaringkan Ji Hun (2 gol) dan Park Cheoleon.

Sebagai rekod, Malaysia sekadar melakar satu kemenangan daripada lima aksi round robin, iaitu ketika menewaskan Jepun 5-4 kelmarin, selain mencatat dua kekalahan dan dua seri bagi menamatkan saingan dengan lima mata.

Pada edisi tahun lalu, Speedy Tigers yang dibimbing Arul Selvaraj muncul sebagai naib juara apabila berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir sebelum tewas 3-4 kepada India. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI