fbpx

Waktu operasi pengeluar pasport dilanjut 8 malam sepanjang cuti sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

BESUT – Jabatan Imigresen (JIM) mengambil inisiatif menambah waktu operasi semua 72 pejabat pengeluar pasport di seluruh negara selama tiga jam sehari sehingga pukul 8 malam pada musim cuti persekolahan minggu depan.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, penambahan waktu beroperasi itu bagi mengurangkan kesesakan dan melancarkan proses pengeluaran pasport sepanjang tempoh tersebut.

Beliau berkata, pelanjutan waktu operasi pejabat pengeluar pasport terbabit berkuat kuasa pada 17 September hingga 22 September ini.

“Semua pejabat pengeluar pasport di seluruh negara akan melanjutkan waktu beroperasi dari pukul 8 pagi hingga 8 malam sepanjang tempoh itu berbanding kebiasaan berakhir pada pukul 5 petang.

“Ia akan bermula pada Selasa ini memandangkan Isnin merupakan cuti umum (Hari Malaysia dan Maulidur Rasul),” katanya pada program Santuni Madani JIM di Kampung La, Hulu Besut hari ini.

Ruslin berkata, sepanjang musim cuti persekolahan ini, pejabat pengeluar pasport juga akan tetap beroperasi pada waktu rehat antara pukul 1 tengah hari dan 2 petang.

Jelas beliau, berdasarkan trend terdahulu terutama semenjak tahun lalu, permohonan pasport akan meningkat mendadak pada musim cuti persekolahan.

“Purata 15,000 permohonan pasport sehari diterima di seluruh negara pada musim cuti persekolahan berbanding 10,000 pada hari biasa.

“Trend ini dapat dilihat pada pasca Covid-19 yang menyaksikan ramai rakyat kita berminat melancong ke luar negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI