fbpx

Terbuka Hong Kong: Pearly-Thinaah unggul ke separuh akhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEARLY (kiri) dan Thinaah memburu final kedua berturut-turut selepas meneruskan kemaraan ke separuh akhir Terbuka Hong Kong hari ini.

KUALA LUMPUR – Beregu wanita No.1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah mengekalkan rentak cemerlang apabila melayakkan diri ke pusingan separuh akhir pada Kejohanan Badminton Terbuka Hong Kong yang berlangsung di Kowloon.

Pada aksi suku akhir di Hong Kong Coliseum hari ini, pasangan No.8 dunia itu mengenepikan cabaran juara Terbuka Taiwan dari Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma-Amallia Cahaya Pratiwi menerusi kemenangan straight set 21-14, 21-13.

Atas kertas, kedua-dua beregu berada pada kondisi terbaik ketika ini berdasarkan keputusan di kejohanan-kejohanan terdahulu, namun Pearly-Thinaah nyata lebih unggul apabila menyingkirkan lawannya itu dalam tempoh 31 minit.

Biarpun dijangka diberikan tentangan sengit, namun mereka tidak berdepan banyak masalah untuk membenam Kusuma-Pratiwi dan Thinaah menjelaskan, ia berpunca daripada persiapan rapi yang dilakukan sebelum perlawanan.

“Saya fikir kami sudah bersedia sepenuhnya untuk perlawanan hari ini selain hanya mahu menikmati permainan. Kami sudah lakukan yang terbaik dan kemenangan straight set pastinya menjadi penyuntik semangat.

“Sekarang kami hanya fokus pada diri sendiri dan perlu bersedia untuk perlawanan esok. Selepas Olimpik, kami memang ada keyakinan selain menyokong antara satu sama lain dalam gelanggang,” katanya kepada BWF sejurus tamat perlawanan.

Menanti Pearly-Thinaah di separuh akhir esok adalah pasangan No.2 dunia dari Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee yang menewaskan rakan sepasukan, Lee Yu Lim-Shin Seung Chan 21-8, 21-18.

Berdasarkan pertemuan terdahulu, pemenang pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu memiliki kelebihan kerana baru sahaja menewaskan Ha Na-So Hee di separuh akhir Terbuka Korea dua minggu lalu.

“Sekarang memang kami yakin dengan kemampuan satu sama lain dan permainan sendiri. Kami hanya mahu kekalkan momentum untuk perlawanan esok, jadi perlu fokus pada diri sendiri sahaja,” ujar Pearly.

Sementara itu, hasrat beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun untuk mengikut jejak langkah Pearly-Thinaah ke separuh akhir tidak kesampaian apabila tewas 18-21, 15-21 kepada gandingan Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI