fbpx

Tarik lesen operasi kalau ada unsur eksploitasi kanak-kanak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

SHAH ALAM – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah diarahkan menjalankan pemantauan rapat terhadap sekolah agama dan pusat tahfiz di negeri ini.

Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr. Mohammad Fahmi Ngah berkata, perkara itu sedang dijalankan jabatan tersebut termasuk dalam semakan dan saringan sama ada telah atau belum berdaftar dengan JAIS.

“Kerajaan Selangor komited dalam memastikan keselamatan pusat-pusat tahfiz dan sekolah-
sekolah agama dari menjadi pusat exploitasi kanak-kanak dan sebaran ajaran-ajaran yang bercanggah
dengan agama Islam.

“Kerajaan negeri tidak akan teragak-agak untuk menarik lesen operasi dan mengenakan penguatkuasaan tegas kepada mana-mana pusat tahfiz atau sekolah agama yang didapati terlibat dengan unsur-unsur tersebut untuk menjamin keselamatan para pelajar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan, kerajaan negeri sentiasa bertanggungjawab dalam menjamin kesucian agama Islam dari anasir jahat dan sesat yang memudaratkan umat Islam.

Justeru itu, katanya, sebuah pasukan siasatan khas JAIS telah ditubuhkan dan dipengerusikan Pengarah JAIS, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad yang sedang aktif menjalankan siasatan berkaitannya.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berkenaan sekolah agama atau pusat tahfiz yang mengamalkan perkara-perkara salah boleh tampil melaporkan terus kepada JAIS di talian hotline 1-800 -88-2424,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohammad Fahmi menzahirkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd. Naim Mokhtar dan JAIS atas tindakan tegas dan segera dalam menangani perkara ini.

“Saya berharap agar siasatan diteruskan secara professional dan tindakan tegas segera diambil untuk kesalahan-kesalahan yang berjaya dibuktikan,” katanya.

Kosmo! Online semalam melaporkan JAIS akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap sekolah-sekolah yang terlibat mengikut Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam 1988.

Terdahulu, sebanyak 402 kanak-kanak dan remaja berusia antara setahun hingga 17 tahun disyaki menjadi mangsa eksploitasi di 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan menerusi gerakan Op Global. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI