PRAGUE – Syarikat penerbangan kelima tertua di dunia, Czech Airlines akan ditutup bulan depan selepas hampir 100 tahun beroperasi di Republik Czech, lapor portal berita The Sun semalam.
Syarikat penerbangan itu beroperasi selepas Dutch KLM, Belanda (1919), Colombian Avianca, Colombia (1919), Qantas, Australia (1920) dan Aeroflot, Russia (1923).
Penerbangan komersial pertamanya ialah pada 29 Oktober 1923 tetapi ketika itu ia menggunakan nama Czechoslovak State Airlines.
Namun, syarikat tersebut telah mengesahkan bahawa operasi penerbangannya akan ditutup pada 28 Oktober ini dan akan diserap oleh syarikat penerbangan Republik Czech lain, Smartwings.
Syarikat itu pernah terjejas kerana serangan pengganas pada 11 September 2001 di Amerika Syarikat, kebangkitan syarikat penerbangan tambang murah dan pandemik koronavirus.
Terdapat juga laporan mengenai salah urus dalaman dan perbelanjaan pengurusan yang berlebihan.
Pada masa ini, Czech Airlines hanya mengendalikan dua laluan iaitu ke Paris dan Madrid dari Lapangan Terbang Vaclav Havel, Prague. – AGENSI