PETALING JAYA – Pelakon baharu Ezaidi Aziz mahu elak babak bersentuhan kerana baginya berlakon adalah punca rezeki dan mahukan keberkatan.
Menurut Ezaidi atau nama lengkapnya Mohammad Ezaidi Andul Aziz, 29, niat asalnya menceburi bidang lakonan adalah untuk mencari rezeki demi kelangsungan hidup.
“Pekerjaan sebagai pelakon sama sahaja dengan pekerjaan lain di luar sana. Kami bekerja dan dapat gaji.
“Sudah tentu dalam setiap pekerjaan Kita perlukan keberkatan.
“Alhamdulillah setakat ini saya banyak berlakon dengan produksi yang tidak melibatkan babak bersentuhan,” katanya ketika ditemui pada sidang media drama Satu Hari Nanti baru-baru ini.
Tambah pelakon kacak itu lagi, dia pernah berdiskusi dengan pengarah bagaimana mahu elakkan bersentuhan dalam babak romantik.
“Jika tetap diminta untuk melakonkan babak bersentuhan, saya akan cuba sedaya upaya untuk tepis.
“Tetapi selalunya saya akan tanya awal-awal jika ada babak yang bersentuhan yang agak berlebihan seperti berpelukan atau mengangkat pelakon wanita,” kongsinya.
Ditanya adakah dia cuba menjaga hati sesiapa kerana enggan melakukan babak bersentuhan, dia menafikan perkara itu.
“Saya tak ada nak jaga hati sesiapa. Apa yang yang saya lakukan adalah mencari keberkatan Allah.
“Saya akui saya bukanlah baik. Allah tutup aib saya,” jelasnya.
Bergandingan dengan pelakon sensasi, Bella Astillah dalam drama Satu Hari Nanti, kata Ezaidi dia tiada masalah bekerjasama dengan aktres itu.
“Kami sudah lama kenal dan sudah banyak kali berlakon bersama. Hubungan kami sudah ibarat keluarga.
“Kami saling menghormati di antara satu sama lain. Namun kemesraan kami hanyalah di set penggambaran.
“Bila di luar set, masing-masing fokus dengan kehidupan masing-masing,” ujarnya.
Drama Satu Hari Nanti yang turut menampilkan Eyka Farhana, Luqman Hafidz dan Shahidan Izwan itu akan mula ditayangkan di platform penstriman iQiyi bermula 18 September 2024. – KOSMO! ONLINE