KLANG – Sebanyak 480 tan pasir dan tanah bernilai RM1 juta berjaya dirampas menerusi Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) di sekitar Selangor bermula kelmarin.
Operasi dijalankan Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor (PTGS) dan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 1 Pelabuhan Klang bagi mengekang ketirisan hasil bumi Selangor.
Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS) Datuk Dr. Yusri Zakariah berkata, sepanjang operasi tersebut juga menahan lapan pemandu lori tempatan yang berusia 24 hingga 55 tahun.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati kelapa-lapan lori tersebut tidak mempunyai permit atau dokumen yang sah.
“Operasi ini dijalankan di darat dan laut yang meliputi kawasan pesisir pantai Selangor sepanjang 291 kilometer dan darat di daerah Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Kuala Langat dan Sepang.
“Kita anggap operasi berjaya dengan penahanan lori-lori tersebut dengan dua dari Nilai, Negeri Sembilan,” katanya pada sidang akhbar di Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang hari ini.
Menurut beliau, secara purata setiap lori tersebut membawa 60 tan pasir atau tanah dengan harganya per tan adalah RM35.
Ujarnya, tanah atau pasir tersebut dipercayai adalah untuk dihantar bagi tujuan projek-projek tambakan pasir atau premis alat perkakasan atau hardware.
“Kita akan melakukan siasatan lanjut terhadap pemandu tersebut dari segi operasi dan modus operandi mereka sebelum memanggil pemilik syarikat.
“Selepas ini, kita akan melakukan operasi penyamaran ekoran banyak aduan kita terima libatkan kapal korek namun dalam operasi kali ini didapati semuanya tiada tanah atau pasir dalam jentera tersebut” katanya.
Dalam perkembangan berlainan, Yusri memaklumkan pihaknya akan mencadangkan kepada kerajaan negeri dalam meletakkan Unit Marin dalam PTGS.
“Semua ini bagi memudahkan operasi dan pemantauan. Namun ia memerlukan kos yang besar disebabkan perlukan jeti untuk labuhkan kapal yang ditahan dan disita.
“Perkara berkaitan tersebut akan dibawa pada tahun depan agar mendapat peruntukan sewajarnya,” katanya. -KOSMO! ONLINE