fbpx

Rebut peluang struktur semula pinjaman PTPTN sebelum 30 September 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PTPTN berharap para peminjam dapat membuat bayaran balik secara konsisten dan teratur. – Gambar hiasan

PETALING JAYA – Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang mempunyai baki tertunggak masih berpeluang menstrukturkan semula pinjaman menerusi Kempen Strukturkan Pinjaman Anda Serendah RM300.

Ini kerana, tempoh kempen dilanjutkan daripada dua bulan yang berakhir pada 31 Julai 2024 sebelum ini kepada empat bulan iaitu bermula 1 Jun sehingga 30 September 2024 ini.

Pengerusi PTPTN, Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim berkata, tujuan pelanjutan tempoh kempen itu adalah untuk memberi peluang kepada peminjam membuat rundingan bayaran balik dan membantu peminjam merancang semula ansuran bayaran balik demi mencapai sifar tunggakan.

Katanya, tempoh pelanjutan itu juga adalah selaras dengan pelaksanaan Kempen myPTPTN Mudah, Cepat & Selamat yang sedang berlangsung.

“Melalui perlanjutan tempoh kempen ini, peminjam yang mempunyai tunggakan pinjaman boleh mengambil peluang untuk membayar tunggakan serendah RM300 dan membuat penstukturan semula pinjaman sekali gus dapat memperbaiki rekod kredit peminjam.

“Jangan lepaskan peluang ini. Komitmen peminjam yang membuat bayaran balik amat dihargai demi kelangsungan dana pinjaman pendidikan kepada generasi akan datang,” tambahnya.

Norliza

Mengulas lanjut, Norliza berkata, kempen berkenaan juga merupakan inisiatif khas yang diwujudkan bagi menggalakkan dan memberi sokongan kepada peminjam yang mempunyai tunggakan pinjaman PTPTN untuk menyelesaikan tunggakan mereka dengan bayaran awal serendah RM300 sahaja.

Jelasnya, kempen itu terbuka kepada semua peminjam PTPTN yang mempunyai tunggakan dalam tempoh kempen, sama ada pinjaman konvensional atau ujrah.

“Peminjam yang mempunyai tunggakan perlu membuat bayaran tunggakan serendah RM300 sahaja untuk penstrukturan semula pinjaman dan diwajibkan untuk membuat potongan gaji atau debit terus sebagai kaedah bayaran balik.

“Penstrukturan semula memberi kemudahan kepada peminjam untuk mengubah struktur jadual bayaran balik dan menetapkan ansuran bulanan berdasarkan kemampuan peminjam.

“Ini bagi memastikan peminjam dapat membuat bayaran balik secara konsisten dan teratur,” katanya.

Tambah beliau, selain penstrukturan, peminjam juga boleh membuat rundingan bayaran balik yang lain seperti pertukaran ujrah, penggabungan pinjaman dan penjadualan semasa tempoh kempen ini.

Sementara itu, bagi seorang peminjam Nurain Rahmat, 30, berkata, dia menyambut baik inisiatif khas tersebut kerana mempunyai tunggakan lebih RM5,000 sebelum ini.

Nurain

Jelasnya, dengan adanya kempen berkenaan, dia tidak perlu lagi risau mempunyai baki tunggakan pinjaman kerana semua tunggakan telah kembali kepada sifar selepas membuat bayaran penstrukturan semula sebanyak RM300 pada 5 Ogos lalu.

“Sebelum ini saya bukan tidak mahu bayar tunggakan pinjaman PTPTN, tetapi gaji saya kecil dan kerja tidak stabil hanya cukup untuk menampung keperluan harian saya.

“Selepas PTPTN membuat tawaran ini, saya terus ambil peluang ini memandangkan kini kerja saya juga telah stabil ketika ini,” kata kakitangan awam sebuah agensi di Johor Bahru.

Berkongsi kisah sama adalah seorang lagi peminjam yang dikenali sebagai Tuan Nurasrul Affendi Tuan Rosdi, 27, yang turut mengambil peluang membuat penstrukturan semula tunggakan PTPTN sempena kempen berkenaan.

Katanya, promosi yang ditawarkan PTPTN kali ini amat menarik bagi mereka yang mempunyai tunggakan banyak serta tidak mampu untuk membayarnya sekali gus.

Nurasrul Affendi

“Sangat berbaloi kempen yang ditawarkan kali ini kerana sebelum ini tunggakan pinjaman saya ada RM6,500 tetapi selepas sertai kempen ini baki tunggakan kembali kosong.

“Jadi amat rugi sekiranya peminjam yang mempunyai baki tunggakan banyak tidak membuat penstrukturan semula kerana ini adalah peluang keemasan untuk menyelesaikan baki tertunggak,” kata pembantu perubatan sebuah hospital di Kulai, Johor ini.

Turut mengambil peluang dalam kempen ini adalah seorang lagi peminjam dikenali sebagai V. Pavitra, 31, yang mahu insiatif ini diadakan lagi pada masa akan datang.

Ini kerana katanya, insiatif tersebut adalah langkah tepat dalam memastikan peminjam dapat membayar tunggakan dan hutang mereka dalam jumlah yang tidak membebankan.

“Terima kasih PTPTN kerana memperkenalkan insiatif ini. Kalau tidak saya buntu macam mana untuk selesaikan hutang pinjaman saya.

“Kepada peminjam yang masih belum menyelesaikannya, segeralah rebut peluang sebelum kempen ini berakhir pada 30 September nanti,” kata operator sebuah kilang di Johor itu.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut berkaitan kempen ini dan rundingan bayaran balik sama ada pertukaran ujrah/ penggabungan/ penjadualan atau penstrukturan semula pinjaman, peminjam boleh menghubungi PTPTN melalui careline PTPTN di talian 03-2193 3000 yang beroperasi Isnin hingga Jumaat dari pukul 9 pagi hingga 5 petang.

Pertanyaan juga boleh dibuat menerusi ‘Live Chat’ di portal www.ptptn.gov.my atau E-Aduan PTPTN https://eaduan.ptptn.gov.my/.

Peminjam juga boleh terus menghubungi esksekutif jualan PTPTN di https://www.ptptn.gov.my/hubungi-ptptn atau media sosial rasmi PTPTN.

Kempen Strukturkan Pinjaman Anda Serendah RM300

  • Kempen ini merupakan inisiatif khas kepada peminjam yang mempunyai tunggakan pinjaman PTPTN untuk menyelesaikan tunggakan mereka dengan bayaran awal serendah RM300 sahaja.
  • Tempoh kempen telah dilanjutkan selama empat bulan iaitu bermula 1 Jun sehingga 30 September 2024.
  • Terbuka kepada semua peminjam PTPTN yang mempunyai tunggakan dalam tempoh kempen sama ada peminjam konvensional ataupun ujrah.
  • Peminjam yang mempunyai tunggakan perlu membuat bayaran pendahuluan tunggakan minimum sebanyak RM300 sahaja untuk membuat pertukaran ujrah atau penstrukturan semula pinjaman di dalam tempoh kempen.
  • Peminjam wajib membuat permohonan potongan gaji (PG) atau direct debi (DD) selepas proses pertukaran ujrah atau penstrukturan semula pinjaman selesai.
  • Bayaran balik pinjaman PTPTN boleh dibuat melalui semua saluran di dalam tempoh kempen.

 

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI